SEBAGAI seorang penjual atas talian, perkara yang ditakuti adalah komunikasi terhalang antara penjual dan pembeli.

Bagi penjual, jika terlepas pandang mesej yang diberikan oleh pengguna di laman sosial, sudah tentu anda bakal kehilangan prospek pembeli.

Jika anda sebagai pembeli, jika mesej anda tidak dilayan dengan pantas pasti akan terdetik di hati; ‘kau ni nak jual atau tak?’.

Disebabkan komunikasi yang terganggu disebabkan faktor tertentu, pembeli akan lari dan peniaga akan rugi. Ini adalah cabaran perniagaan online berbanding konvensional.

Bagaimanapun, masalah tersebut sedikit sebanyak dapat diatasi dengan terciptanya platform pemangkin komunikasi menerusi WhatsApp, pmjer.com.

Pemilik pmjer.com, Muhamad Azree Abdul Rahim, 28, berkata, melalui platform itu, pembeli tidak perlu meninggalkan nombor telefon pada ruangan komen yang boleh mengganggu privasi.

“Kalau komen ‘pm sis’ sekalupun, sudah tentu orang lain boleh melihat profile anda. Sama juga dengan anda meletakkan nombor telefon. Privasi anda mungkin terganggu.

“Melalui pmjer.com ini, komunikasi anda hanya antara penjual dan pembeli. Orang lain tidak akan tahu. Komunikasi pula akan terus ke WhatsApp peniaga. Komunikasi akan berlaku dengan pantas,” katanya.

Azree berkata, sepanjang tiga bulan platform komunikasi itu dilancarkan, lebih 300 usahawan atas talian mengambil peluang menggunakannya secara percuma.

“pmjer.com merupakan pemangkin komunikasi berkesan antara penjual dan pembeli. Jenama baru susah mendapat keyakinan pembeli, jadinya menerusi bantuan komunikasi sebegini, penjual dapat mempertingkat kefahaman produk dan perkhidmatan secara terus kepada pelanggan menerusi WhatsApp.

“Ianya mudah digunakan. Tidak perlu untuk muat naik aplikasi di Google Store, Apple Store atau sebagainya. Hanya taip pmjer.com pada enjin carian internet dan anda boleh terus menggunakannya.

“Setakat ini saya tidak meletakkan sebarang bayaran. Niat saya hanya untuk membantu usahawan-usahawan muda berniaga dengan lebih mudah,” katanya.

Azree berkata, bagi memantapkan lagi pmjer.com selari dengan keperluan yang ditetapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) terhadap peniaga atas talian, beliau akan menambah baik ciri-ciri platform berkenaan.

“Selepas ini saya akan letakkan ruangan harga, jenis barangan, fungsi barangan, material dan sebagainya bagi memudahkan komunikasi antara pembeli dan peniaga.

"Dalam versi kedua itu juga pmjer.com akan menjadi perantara pembayaran dalam talian yang selamat bagi menjaga kepentingan peniaga dan hak pembeli,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas KPDNKK yang akan mengambil tindakan terhadap peniaga atas talian yang tidak mempamerkan harga jualan, beliau berkata, peniaga wajib mematuhi arahan itu selain perlu mencari alternatif baharu memasarkan produk mereka.

Katanya, alternatif baharu itu perlu supaya anda sebagai peniaga tidak tertinggal dalam dunia pemasaran atas talian.

“Apabila berlaku perubahan teknologi atau perlu ikut atau anda akan ditinggalkan. Jika tidak mahu berubah, anda akan ketinggalan waima anda menjual pucuk paku sekalipun,” katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Keputusan tepat, elak ditipu scammer]

[ARTIKEL BERKAITAN: Keputusan KPDNKK tepat]