BANJIR di Malaysia berlaku setiap tahun terutama semasa musim tengkujuh. Kekerapan bencana menyebabkan kehilangan berpuluh nyawa dan kerugian harta benda. Pelbagai usaha dipertingkatkan, namun bencana banjir tetap berlaku.

Dari pengamatan penulis, banjir ini berlaku disebabkan bentuk topografi semula jadi yang tidak dipulihara dengan baik. Ini adalah gangguan dari pembangunan di atas muka bumi yang tidak seimbang.

Sistem aliran air sungai dan anak sungai, perparitan serta sistem ekologi tidak direka bentuk bagi mengimbangi aliran dan kawasan tadahan air akibat hujan lebat, kepesatan pembangunan dan kepadatan penduduk.

Ekologi perlu ditingkatkan mengikut reka bentuk semula jadi dan mencukupi mengikut nisbah peningkatan pembangunan di sesuatu kawasan. Perkara ini perlu diambil peduli dengan mengaplikasikan ilmu kejuruteraan secara terperinci oleh pakar-pakar jurutera dan ahli ekologi mengikut disiplin dan profesionalisme mereka.

Sememangnya, ilmu kejuruteraan telah terkandung dalam al-Quran dan Hadis semenjak lebih dari 1,400 tahun lalu yang, telah disampaikan oleh Rasulullah SAW kepada seluruh umat dunia.

Bagi mengaplikasikan ilmu kejuruteraan, ia memerlukan penggunaan bidang ilmu pengetahuan saintifik dan teknikal untuk mereka bentuk sesuatu produk, membangun sesuatu projek atau menganalisis sesuatu sistem yang dapat dimanfaatkan kepada manusia dan mensejahterakan alam.

Tetapi, sekiranya ilmu kejuruteraan ini tidak diaplikasikan dengan sebaiknya, ia akan mengakibatkan kemusnahan. Sebagai contoh bencana tanah runtuh dan ilmu kejuruteraan telah disebut dengan jelas dalam Surah Al-Nahl (16:15),  

"Dan Ia adakan di bumi gunung-ganang (supaya) ia tidak menggoncang kamu, dan Ia adakan sungai-sungai dan jalan-jalan supaya kamu dapat petunjuk jalan”.

Dalam ayat ini ALLAH membuktikan prinsip kejuruteraan dengan menempatkan gunung-ganang sebagai asas bumi  teguh dan sungai sebagai saliran air semula jadi untuk kesejahteraan manusia.

Surah Nuh (71: 10-12): “Maka Aku berkata, mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kerana sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun. Ia akan curahkan (air) langit atas kamu dengan sungguh-sungguh curahan-curahan. Dan Ia akan membantu kamu dengan harta dan anak-buah, dan Ia akan adakan bagi kamu syurga-syurga, dan Ia akan adakan bagi kamu sungai-sungai”.

Menerusi ayat di atas, ALLAH menyatakan akan menurunkan hujan bila-bila masa dikehendaki dengan secukupnya dan menyediakan prasarana saliran dan takungan air yang mencukupi di atas muka bumi.

Tetapi ALLAH juga memberi peringatan dengan tegas, sekiranya manusia tidak bersyukur dengan apa yang dikurniakan dan mengubah keadaan semula jadi ekologi yang dicipta-Nya, perkara ini akan membawa kerosakan hasil daripada perbuatan mereka sendiri.

Walaupun demikian, ALLAH memberi tunjuk ajar kepada kita sebagaimana yang telah diberi petunjuk kepada orang yang beriman terdahulu supaya selamat daripada bencana banjir.

Sebelum berlaku ribut taufan yang menyebabkan banjir besar itu, ALLAH telah memberi tunjuk ajar kepada Nabi Nuh supaya membuat bahtera (kapal laut) yang diperbuat daripada kayu.

Surah Hud (11:37-38) memaparkan penceritaan ALLAH tentang pembikinan kapal., “Dan bikinlah kapal itu di hadapan Kami dan (dengan pimpinan) wahyu Kami, dan janganlah engkau hadapkan omongan kepada Ku tentang orang-orang yang zalim itu, (kerana) sesungguhnya mereka akan ditenggelamkan. Dan ia bikin kapal itu; dan tiap-tiap kali segolongan daripada kaumnya melalui dia, mereka perolok-olokkan dia. Ia berkata: “Jika kamu perolok-olokkan kami, maka sesungguhnya kami akan perolok-olokkan kamu sebagaimana kamu perolok-olokkan”.

* Prof Madya Ir Dr Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan Pusat Kecemerlangan Unisel