PERISTIWA ditembak pengganas komunis pada 1949–1950 masih segar dalam ingatan seorang perwira apabila parut kesan tembakan masih jelas kelihatan di bahagian tangan kiri dan paha kiri.

Salleh Nahu, 85, antara lapan anggota batalion ketiga askar Melayu Diraja yang cedera ketika bertempur dengan komunis pada 1949 di Kampung Pulai, Gua Musang, Kelantan.

Salleh yang membahasakan dirinya atuk berkata, meskipun waktu itu dia baru sahaja berkhidmat sebagai anggota tentera, namun semangat untuk berjuang demi tanah air tercinta mulai menebal.

“Masa itu, atuk baru berusia 19 tahun tapi sudah berani memegang senjata untuk menentang musuh dan berperang.

“Tanpa memikirkan kepentingan nyawa, tugas dan amanah yang dipikul perlu dilaksanakan dengan baik,” katanya ditemui di rumahnya, Kampung Sawah Lebar, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Menurutnya, pertempuran bersejarah itu masih segar di ingatannya walaupun usianya sudah lanjut.

“Alhamdulillah, ingatan atuk masih lagi kuat dan boleh bercerita pengalaman semasa peperangan,” katanya yang kini menghidapi penyakit darah tinggi.

Salleh berkata, pada awal Mac 1950, satu platun digerakkan ke Gua Musang. Katanya, penempatan platun 12 yang diketuai Allahyarham Leftenan Muda Hassan Yassin berpangkalan di Pulai.

Mereka diarahkan mengawal kawasan ini kerana dikhuatiri menjadi port komunis. Pada 23 Mac 1950, jam 730 pagi, pasukan kami dengan kekuatan 25 tentera terdiri daripada seorang pegawai, seorang koperal, empat lans koperal, dan 19 prebet termasuk Salleh ditugaskan membuat rondaan ke Sungai Nenggiri selama tiga hari.

“Pada keesokan harinya, jam 2 petang, kami berhenti makan tengah hari selepas selesai membuat rondaan.

"Leftenan Muda Hassan kemudian memberi arahan berpatah balik untuk pulang ke pangkalan Pulai pada hari seterusnya.

"Jadi atuk dan platun 12, tidurlah semalaman di kawasan hutan terbabit,” katanya.

Alami kecederaan

Pada 25 Mac 1950, jam 10.00 pagi, kata Salleh, mereka bersiap sedia untuk pulang.

“Kami menyusuri air Sungai Semur hingga jam 10.30 pagi dan melewati kawasan berbukit. Namun dengan secara tiba-tiba kami telah diserang hendap dari arah bukit seberang sungai.

“Seolah-olah kami dikepung dan tembakan bertubi-tubi ke arah kami. Bayangkanlah, waktu itu, kami tiada persediaan dan diserang hendap tanpa disedari. Hanya ALLAH SWT sahaja yang tahu perasaan atuk ketika itu," ujar Salleh.

Tambahnya, semasa pertempuran itu, Leftenan Muda Hassan gugur bersama anggota yang lain. Dianggarkan pengganas komunis seramai 40 orang, manakala pihak tentera hanya 25 orang sahaja.

"Kami berhempas pulas untuk menyelamatkan diri. Namun tak berdaya kerana seramai 17 orang mati di tempat kejadian. "Manakala lapan cedera termasuk atuk yang mengalami kecederaan di tangan dan paha kiri,” katanya.

Sejurus gugurnya Leftenan Muda Hassan, kata Salleh, Koperal Jamaluddin Muhamad mengambil alih tugas sebagai ketua untuk mengetuai platun terbabit.

“Allahyarham telah mengarahkan anggota menembak peluru mortar 2 inci ke arah pengganas komunis. Namun sedikit tersasar ke pohon buluh.

"Koperal Jamaluddin tidak berputus asa, dengan maju selangkah ke hadapan, lalu merapati tebing sungai tetapi tindakan itu sukar ekoran pengganas sudah siap sedia di tempat itu.

“Pertempuran terus berlaku dengan aksi tembak-menembak meskipun kekurangan anggota. Kami tetap bersemangat walaupun telah cedera,” katanya.

Kehabisan peluru

Masih terngiang lagi di benak fikiran Salleh, pengganas memberi amaran supaya "askar Melayu surrrender!’.

“Bila mereka cakap macam itu, atuk lagilah bersemangat untuk bunuh mereka habis-habisan. Oleh kerana kedegilan kami untuk tidak menyerah kalah, menyebabkan pengganas bertindak agresif dan mengambil kesempatan setelah kekurangan anggota.

“Akhirnya, Prebet Wahab Hamid telah berjaya menembak pengganas pada waktu dirinya cedera selepas ditembak. Kami telah berjuang selama empat jam tanpa henti sehingga kehabisan peluru,” katanya.

Kata Salleh, Koperal Jamaluddin waktu itu telah ditangkap pengganas dan diberi syarahan indoktrinasi selama dua jam.

“Selepas itu, koperal telah dibebaskan, keluar untuk ke pangkalan Pulai bersama anggota yang cedera.

“Manakala Prebet Wahab dan Prebet Rashid Wahab mengalami kecederaan parah tidak dapat berjalan dibiarkan begitu sahaja bersama 14 mayat.

Sebagai tanda pembebasan, musuh telah meniup tetuang sebagai simbolik meninggalkan tempat tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, berkat kecekalan dan kesabaran Wahab dan Rashid, mereka telah merangkak menyusuri sungai Semur.

“Pada tanggal 27 Mac jam 10 pagi, akhirnya mereka berdua ditemui selepas diselamatkan oleh platun 11 dengan misi ‘jungle squard’ dari Gua Musang. Semasa dijumpai, kaki Wahab yang berlubang kena bedilan peluru, telah berulat.

“Saya difahamkan, seramai 29 pengganas komunis telah terkorban dan pasukan tentera melibatkan 17 anggota, enam cedera dan dua orang cedera ringan,” katanya kini dikurniakan, cucu, 16 orang dan cicit 22 orang.

Kata Salleh, tentera yang gugur dibawa pulang dan disemadikan di tanah perkuburan askar Melayu, Port Dickson walaupun pada awalnya jenazah itu telah dikebumikan di kampung Pulai, Gua Musang, Kelantan.

“Walaupun atuk tidak dapat apa-apa penghargaan semasa pertempuran itu dari pihak berkaitan, atuk reda.
 
“Cumanya agak terkilan kerana, atuk juga seorang pejuang yang wajar dihargai kerana memelihara negara dan menjaga keamanan,” katanya bersara pada 23 Ogos 1969 berpangkat koperal.

Peristiwa bertempur dengan komunis pada 1949 di kampung Pulai, Gua Musang, Kelantan telah dibukukan dengan tajuk Pertempuran Sungai Semur, Sejarah & Penghargaan.