KE mana-mana sahaja, pasti berdua! Sehinggakan ada yang gelarkan mereka saudara biarpun berlainan agama dan bangsa. Secebis kisah persahabatan dua insan ini, bagaikan tiada perbezaan  bangsa mahupun agama.

Leong Hooi Meng, 51, berkata, hubungan bersama sahabatnya, Noor Hasni Saad, 52, begitu akrab sehingga ramai yang menyangka mereka sebagai adik beradik.

“Kami tinggal di kampung yang sama, iaitu Kampung Permatang Binjai. Boleh dikatakan kampung saya ini, kebanyakan penduduk terdiri daripada masyarakat Melayu, jadi kebanyakan rakan-rakan saya memang Melayu.

“Dalam ramai-ramai rakan Melayu saya, paling rapat dengan Hasni. Memang kalau nak ke mana-mana sekalipun dengan dia sajalah,” katanya.

Mengimbau kembali kenangan sewaktu zaman kanak-kanak, katanya, ketika itu dia lebih banyak menghabiskan masa bersama sahabatnya itu.

“Rumah dia ibarat rumah kedua saya, saya bebas keluar masuk. Tak rasa kekok langsung, begitu juga dengan dia. Dia mai rumah saya pun seolah macam rumah dia sendiri.

“Ingat lagi, setiap kali semasa dia mengaji al-Quran, saya akan tunggu di tangga tempat dia mengaji, lepas dia habis mengaji, kami pergi bermain,” katanya.

Kenangan bersama

Menceritakan memori bersama sahabat baiknya itu, bagaikan perkara yang amat menggembirakan dirinya, seolah semuanya mahu dikongsikan bersama.

Hooi Meng berkata, kenangan yang tidak dapat dilupakan adalah mereka berdua pernah membonceng basikal hingga ke kawasan Bagan.

“Dulu ada satu tempat dekat sana, memang kawasan pembuangan sampah, saya pun bukan orang senang, dia pun bukan orang senang.

“Jadi lepas kami habis sekolah, kami tunggang basikal bersama-sama pergi ke tempat pelupusan sampah, cari barang-barang terpakai.

“Ingat lagi masa tu, banyak kami bawa balik, saya bonceng dia kayuh, melelong juga masa tu, sebab barang banyak sangat,” katanya.

Fasih berbahasa melayu

Berbicara bersama Hooi Meng tidak terasa langsung berbicara dengan seorang lelaki bukan Melayu kerana fasihnya bahasa kebangsaan.

Hooi Meng berkata, penguasaan Bahasa Melayu tidak menjadi masalah kerana sejak dari kecil dirinya bercampur dengan rakan-rakan daripada masyarakat Melayu.

“Masa dulu, hanya ada dua keluarga sahaja di kampung ini. Tak wujud langsung prasangka macam kita bangsa berbeza jangan kawan.

“Hampir seharian bercampur dengan mereka, di rumah saja kalau cakap dengan keluarga, saya berbahasa Cina. Kalau main bola atau apa saja permainan, memang cakap Melayu. Mungkin sebab itu penguasaan Bahasa Melayu saya lancar,”  katanya.

Memang macam saudara

Sahabatnya, Noor Hasni Saad, 52, berkata, Hooi Meng sememangnya sahabat baiknya sejak kecil lagi.

“Saya dulu pun, kalau nak pi mana-mana, cari dia lah. Sampaikan selepas habis sekolah, sebelum saya masuk tentera, dia kerja di Parkson, saya pun kerja dekat-dekat situ saja.

“Masa tu pun pergi kerja naik bas sekali, memang orang ingat dia adik saya, sampai macam tu kami punya rapat,” katanya.

Katanya, antara kenangan yang tidak dapat dilupakan adalah situasi di mana seorang wanita Cina berbahasa Melayu dengan sahabatnya itu.

“Masa tu dia sembang dengan saya, Hooi Meng ni Bahasa Melayu dia memang bagus, langsung tak pelat. Waktu itu, ada seorang wanita Cina, ingin bertanyakan sesuatu.

“Dia cakap Melayu dengan Hooi Meng, memang Hooi Meng terkejut. Saya hanya tersenyum, mungkin wanita tu ingat Hooi Meng pun Melayu,” katanya.

Persahabatan masih utuh

Biarpun hampir beberapa tahun, Hooi Meng berpindah ke Kepala Batas setelah mendirikan rumah tangga, namun hubungan akrab dua sahabat ini kekal utuh sehingga kini.

Bagi Hooi Meng, Hasni adalah sahabatnya yang amat diingatinya kerana hubungan mereka bukan setakat rakan sepermainan, namun akrab bagaikan saudara.

“Lepas saya kahwin, saya pindah ke Bertam, Kepala Batas, keluarga saya pun tinggal sana, sini yang ada hanyalah rumah.

“Persahabatan tetap saya tak akan lupa, biarpun kami berdua kini sudah menjangkau umur lebih 50 tahun, namun persahabatan kekal sehingga kini,” katanya.

Hooi Meng berkata, setiap insan memerlukan sahabat, tanpa perlu mengira bangsa dan agama.

“Tidak ada bezanya seseorang itu berbangsa Melayu, Cina atau India, asalkan bersahabat, semuanya sama sahaja. Keakraban hubungan ini amat kami hargai dan jaga supaya kekal selamanya.

“Malaysia tidak ramai bangsa, tak seperti sesetengah negara, kita boleh duduk minum kopi bersama berbual, tetapi situasi itu kurang dilihat, ini disebabkan hati.

“Hati kita sebenarnya yang menolak, di tempat kerja, ada kawan Cina, Melayu, India, jangan kita berpuak-puak. Tegurlah antara satu sama lain, kita hanya mahu gembira, bila hati pun senang, kawan pun bertambah,” katanya.

Tambahnya, buanglah sikap ego dan sombong, itu antara pesanan kepada dirinya sendiri yang turut disemai kepada anak-anak.

“Sesetengah masalah, bukan kita cari, Tuhan sudah buat sebaiknya. Ada banyak manfaat kepada kita,  tapi kita yang sengaja membawa diri dalam masalah. Itu tidak sepatutnya berlaku,” katanya mengakhiri bicara.