Tidak ramai golongan muda yang berminat untuk menceburi bidang pertanian kerana beranggapan ia tidak menarik dan memerlukan masa panjang untuk menuai hasil lumayan.

Kebanyakan mereka lebih gemar untuk bekerja dalam bidang profesional kerana lebih selesa, eksklusif dan menjanjikan pendapatan lumayan tanpa perlu menumpahkan banyak keringat.

Tanggapan itu sebenarnya perlu diubah kerana bidang pertanian sebenarnya mampu menjana pendapatan tinggi jika dilaksanakan secara komited dan bersungguh-sungguh.

Kenyataan ini mungkin nampak seakan retorik tetapi ia dapat dibuktikan dan dilihat melalui Agrochallenge Maha 2012, iaitu sebuah program lawatan sambil belajar yang dianjurkan Kelab Usahawan Tani Malaysia (Kuat).

Setiausaha Kehormatnya, Zahari Abu Yazid berkata, objektif Agrochallenge adalah untuk mendedahkan peserta kepada projek pertanian berjaya, melebarkan jaringan perniagaan pertanian dan mempromosikan projek serta usahawan pertanian.

Menurutnya, pertanian adalah bidang yang berkaitan penghasilan makanan dan ia tetap dianggap penting kerana makanan adalah sumber tenaga buat seluruh penduduk dunia.

“Satu ketika dahulu, pertanian dianggap sebagai satu bidang yang merugikan dan kebanyakan individu tidak berminat menyertai bidang ini kerana tiada pendedahan tentang kelebihannya.   

“Agrochallenge bukan setakat program lawatan kerana ia menarik perhatian dan memberi panduan kepada orang ramai, usahawan baru dan sedia ada tentang langkah sesuai untuk menceburi industri ini melalui perancangan tepat,” katanya kepada InfoAgro.

Kuat merupakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan pada November 2002 dan diwakili usahawan yang terlibat dalam bidang pertanian, penternakan serta industri asas tani.

Sebagai NGO mewakili usahawan tani, ia turut disokong oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan agensi di bawahnya, terutama Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).


Promosi Maha 2012

Beliau berkata, Kuat sebagai penganjur Agrochallenge menggalakkan orang ramai yang berminat dengan bidang pertanian dan usahawan sedia ada melaksanakan aktiviti pertanian berpandukan pengalaman daripada usahawan berjaya.    

“Selain kunjungan ke projek pertanian, program ini juga menjadi platform kami untuk mempromosikan acara pertanian terbesar negara iaitu Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Antarabangsa 2012 (Maha 2012) pada penghujung bulan ini.

“Ini adalah cara untuk mempromosikan acara pertanian terbesar negara ini secara langsung di mana kami mengedarkan risalah di lokasi projek pertanian. Seterusnya, usahawan terbabit pula akan mengedarkan risalah itu di sekitar kawasan masing-masing,” katanya.

Agrochallenge Maha 2012 menyaksikan 83 peserta daripada beberapa agensi kerajaan dan swasta menyertai konvoi 30 kenderaan yang bermula dari Pekan, Pahang dan berakhir di Sungai Petani, Kedah.

Acara empat hari itu berlangsung dari 20 Oktober dan melibatkan perjalanan melalui empat negeri dengan sesi lawatan teknikal dan taklimat di projek pertanian dan industri asas tani berjaya di negara ini.

Zahari berkata, program kali ini agak berbeza daripada penganjuran sebelumnya di mana acara kembara itu lebih memberi tumpuan kepada konsep lawatan sambil belajar.

Menurutnya, sebelum ini penganjuran Agrochallenge melibatkan aktiviti cabaran permainan dan kuiz yang menguji barisan peserta dengan majoriti terdiri daripada orang awam.

“Pada kali ini, penyertaan dikhususkan kepada ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pahang melibatkan 51 orang. Selain itu, ia turut disertai beberapa pegawai daripada agensi kementerian, usahawan tani dan urus setia Kuat sendiri,” katanya.  

Agrochallenge Maha 2012 memulakan pengembaraan di PPK Pekan, dengan acara pelepasan dilakukan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Peramu Jaya, Ibrahim Awang Ismail.


Lawatan ke empat negeri

Peserta konvoi seterusnya bergerak ke projek ladang buluh madu di Temerloh dan ladang fertigasi gantung di Raub sebelum menuju ke Cameron Highlands.

“Pada hari kedua, peserta melakukan lawatan ke PPK Cameron Highlands dan projek ladang strawberi serta agro pelancongan sebelum bertolak ke ladang ikan arowana di Bukit Merah.

“Pada hari ketiga pula, peserta program dibawa melawat pusat benih padi di Kuala Kurau, Perak dan meneruskan lawatan ke PPK Lahar Bubu serta Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Jentera, Pulau Pinang sebelum menamatkan acara di Sungai Petani, Kedah,” katanya.      

Sementara itu, Ketua Penolong Setiausaha (KPSU) Bahagian Industri Asas Tani, Khalid Kasmoin berkata, penganjuran Agrochallenge dianggap sebahagian daripada nilai tambah dalam mempromosikan Maha 2012.

Menurutnya, program itu membolehkan agensi di bawah kementerian turun padang untuk melakukan promosi di peringkat akar umbi supaya masyarakat tahu bahawa Maha 2012 adalah satu program daripada pihak kementerian khusus untuk golongan petani.

“Sebahagian daripada peserta program tidak begitu terdedah kepada penganjuran dwi tahunan Maha ini, namun melalui kaedah lawatan, sekurang-kurangnya mereka lebih terbuka dan mendapat maklumat tepat tentang acara pertanian terbesar ini,” katanya.

Beliau berkata, maklum balas daripada mereka amat baik dan sebahagiannya akan turut menyertai program yang akan dianjurkan oleh pihak kementerian.

“Maha bukan setakat mempromosikan produk pertanian semata-mata kerana pelbagai pengisian menarik akan berlaku di Serdang nanti.

“Antara yang harus diberi tumpuan sudah pasti pengenalan pelbagai teknologi baru bagi meningkatkan nilai tambah dan daya pengeluaran hasil petani itu sendiri,” katanya.

Khalid berkata, semua golongan petani harus mengambil peluang itu untuk mendapat pendedahan berguna dan meningkatkan pengetahuan, sekali gus membantu usaha negara dalam meningkatkan lagi pengeluaran makanan negara.