Tragedi kebakaran yang menggemparkan negara, 23 tahun lalu di Sekolah Menengah Agama (SMA) Taufikiah Khairiah Al-Halimiah atau lebih dikenali sebagai Pondok Pak Ya di Padang Lumat, Kedah masih terpahat di sanubari mereka yang melaluinya.

Malah peristiwa tersebut mencatatkan sejarah hitam apabila seramai 27 pelajar sekolah itu terkorban dalam keadaan yang sungguh tragis dan jenazah mereka dikebumikan di tanah perkuburan khas "27 Syuhada Peristiwa Kebakaran Pondok Pak Ya"ww di sini.

Pastinya tanggal 22 September 1989 tidak mungkin dapat dilupakan kalangan ahli keluarga mangsa yang terkorban tambahan pula mereka yang terlibat secara langsung atau sebaliknya dengan peristiwa hitam itu.

Pengetua SMA Taufikiah Khairiah Al-Halimiah, Azizah Yahaya, 69, berkata, pelbagai badan bukan kerajaan dan media sering bertandang ke sekolah itu bagi membuat rujukan dan membuat imbasan semula mengenai peristiwa yang menggemparkan negara itu walaupun lebih 20 tahun berlalu.

Menurutnya, pihak sekolah mengambil inisiatif untuk membuat kajian semula mengenai peristiwa itu dan dalam proses mengemaskinikan bilik pameran berkenaan peristiwa itu.

"Bilik pameran peristiwa duka 27 Syuhada 22 September 1989 diwujudkan sejak empat tahun lalu bagi memudahkan pelbagai pihak yang datang untuk membuat rujukan mengenai peristiwa itu.

"Namun sejak tahun lepas, pihak sekolah sendiri menubuhkan jawatankuasa untuk mengkaji dan menjejaki semula waris mangsa bagi mendapatkan maklumat lengkap mengenai mangsa kebakaran tersebut untuk direkodkan dan dijadikan bahan rujukan," katanya yang menjadi menjadi pengetua di sekolah itu sejak lima tahun lalu.

Punca kebakaran

Azizah berkata, bilik pameran itu dalam proses untuk dikemaskinikan semula dengan maklumat lengkap yang telah diperoleh ketika kajian dibuat tahun lepas dengan koleksi gambar kebakaran, replika blok Pondok Pak Ya sebelum kebakaran berlaku dan maklumat berkaitan.

Tambahnya, bilik pameran tersebut turut melengkapkan pelbagai gambar kenangan lama iaitu sejak Pondok Pak Ya dibangunkan semula Tuan Guru Haji Yahaya Junid pada 1941.

Sempena peristiwa kebakaran terbabit, pihak sekolah mengadakan Program Memperingati 27 Syuhada Kebakaran Pondok Pak Ya 1989, pada tanggal 22 September 2011.

Azizah berkata, mengimbas kembali peristiwa hitam itu, dia difahamkan kejadian berlaku pada awal pagi hari Jumaat ketika penghuni asrama puteri sekolah yang majoritinya berusia antara 13 hingga 18 tahun terbabit sedang nyenyak tidur.

"Berdasarkan laporan dan siasatan pihak berkuasa, kebakaran berpunca daripada lilin yang digunakan pelajar puteri yang menghuni asrama itu untuk mengulang kaji pelajaran.

"Namun difahamkan mereka tertidur dan lilin yang digunakan untuk menerangi ruang bilik asrama itu telah terjatuh dan membakar tilam hingga merebak dan tidak dapat dikawal," katanya.

Akibatnya, Azizah berkata, sebanyak lapan blok asrama yang diperbuat daripada papan ketika itu musnah dijilat api dan 27 pelajar perempuan yang menghuni di asrama terbabit terkorban, difahamkan ketika nyenyak tidur akibat menghidu bau asap tebal kebakaran itu.

Jejaki keluarga mangsa

Pengelola Program Memperingati 27 Syuhada Kebakaran Pondok Pak Ya 1989 yang diadakan pada tahun lalu, Muhammad Fikri Abd Razak, 25, berkata, dia bersama jawatankuasanya mengambil masa selama tiga bulan untuk menjejaki semula keluarga mangsa kebakaran itu bagi mendapatkan maklumat terperinci untuk direkodkan.

Namun dia bersyukur kerana mendapat kerjasama yang baik daripada keluarga mangsa dan pihaknya akan mencuba untuk mengadakan majlis memperingati peristiwa itu setiap tahun.

"Saya juga mendapat maklum balas yang baik daripada keluarga mangsa mengenai majlis tersebut dan ada yang memintanya untuk dijadikan acara tahunan di sini.

"Saya berharap segala usaha pihak sekolah menjejaki semula keluarga mangsa untuk mendapatkan maklumat dan direkodkan dapat menjadi permulaan kepada sumber rujukan di bilik pameran ini," katanya.

Dalam perkembangan sama, Azizah berkata, tapak menempatkan lapan blok asrama yang musnah terbakar pada 1989 dalam peristiwa hitam itu kini dibina sebuah bangunan untuk menampung jumlah keperluan di sekolah itu.

Bagaimanapun projek pembinaan tersebut dilaknasakan secara berperingkat berdasarkan wang yang ada sejak 15 tahun lalu dan masih tidak dapat disiapkan sepenuhnya sehingga kini.

"Bangunan tersebut akan dijadikan sebagai kelas bagi menampung jumlah pelajar yang semakin meningkat tahun demi tahun.

"Di tingkat atas bangunan itu akan dijadikan dewan serba guna bagi memudahkan pelajar perempuan mengadakan aktiviti terutamanya aktiviti bersukan tanpa begitu terdedah kepada persekitaran," katanya.

Justeru itu, Azizah memohon jasa baik semua pihak untuk menyumbangkan dana bagi menyambung pembinaan bangunan tersebut agar dapat dibina sepenuhnya bagi digunakan oleh pelajar.

Kepada mereka yang mahu menyumbangkan wang bagi membina bangunan tersebut boleh memberikan sumbangan anda melalui nombor akaun CIMB Bank atas nama Sekolah Taufikiah Khairiah Al-Halimiah bernombor 02011010001566 atau boleh menghubungi pihak sekolah di talian 04-7481357 untuk keterangan lanjut.