SEIIRING dengan peredaran zaman, perkembangan arus kemodenan terus melekakan dan mengkhayalkan generasi muda hari ini.

Secara tidak langsung, situasi berkenaan melenyapkan industri sastera itu sendiri.

Penggiat seni dan budaya, Ruhie Isma berkata, generasi muda hari ini terlalu kabur dengan kesusasteraan.

“Saya sendiri tidak nampak satu arah tuju dalam bidang sastera buat generasi baru ini. Tapi, apa yang saya lihat kesusasteraan semakin hari semakin layu dalam kalangan generasi muda.

“Semakin lama, semakin longgar sehingga akhirnya akan membawa kepada kepupusan.

“Jika tidak diatasi, generasi muda tidak akan mengenali budaya Melayu, suatu hari nanti,” katanya pada Media Hiburan.

Jelasnya, keadaan itu amat membimbangkan sementelah kesusasteraan mengajar norma-norma kemanusiaan dan pembinaan modal insan cemerlang.

“Jika seni sastera itu ‘hidup’, tidak akan wujud generasi hari ini yang bersifat biadab.

“Kesusasteraan merakamkan macam-macam perlakuan budaya dalam bentuk tulisan dan lisan.

“Sebagai contoh, satu ketika dahulu dalam bulan Ramadan, masyarakat akan selalu bertukar hidangan sesama jiran, namun sekarang sudah tiada  bahkan juga di kampung sendiri tidak mengamalkan budaya itu.

“Secara peribadinya, saya merindui suasana seperti itu kerana ia menimbulkan kemesraan di antara satu sama lain,” katanya.

Mengakui kecewa, anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini menyifatkan segala pengorbanan dan penat lelah golongan sasterawan pada masa dahulu bagaikan tidak dihargai.

“Terciptanya Malaysia melalui saham sasterawan yang berusaha mencari kemerdekaan.

“Tahniah buat penulis veteran seperti Ahmad Boestamam dan Pak Sako yang menulis demi melawan penjajah,” katanya yang berpengalaman lebih 50 tahun dalam industri ini.

Lantaran itu, pemilik nama sebenar Ishak Ahmad ini menggesa agar kerajaan mengambil serius terutamanya dalam bidang pendidikan sastera.

“Walaupun ada Komsas melalui subjek Bahasa Melayu di sekolah, tetapi ia hanya setakat untuk lulus dalam peperiksaan. Begitu juga dengan sayembara puisi yang bagaikan tiada kesinambungannya.

“Seharusnya juga kerajaan mewajibkan pelajar supaya belajar kesusasteraan dan budaya bangsa sendiri daripada asasnya,” katanya.

Katanya, Kementerian Pendidikan juga tidak seharusnya memisahkan di antara bidang sastera dan sains.

“Contohnya, semangat Indonesia tetap kuat walau ke mana pun rakyatnya berhijrah. Tetapi, Malaysia pula semakin hilang jati diri.

“Di Indonesia sendiri, ketua kampung wajib mempunyai pengetahuan mengenai seni budayanya. Lihat betapa bersungguhnya mereka memberi komitmen dalam memulihara tradisi,” katanya.

Aktif berteater

Tidak hanya aktif dalam bidang kesusasteraan, Ruhie Isma juga merupakan aktivis teater.

“Saya minat menulis kerana abang saya yang juga guru, sentiasa membeli majalah dan novel. Pendedahan terhadap bahan bacaan inilah yang meransang jiwa untuk menulis.

“Di samping menulis, saya mula aktif berteater apabila dipujuk oleh aktivis teater Morad Ibrahim untuk berlakon dan menulis skrip teater.

“Saya sahut cabaran itu dan mulalah aktif secara serius dalam dunia teater sehingga ke hari ini,” katanya.

Terus giat berteater, lelaki berusia 65 tahun ini menubuhkan Persatuan Kreatif Utama Budaya Anak Seni (Kubas) pada 2003.

“Saya sendiri bertindak selaku pengerusinya.

“Kubas dianggotai oleh anak-anak muda yang berusaha melahirkan persembahan berkualiti dan kemuncaknya Kubas berjaya merangkul Johan Festival Teater Kebangsaan pada 2006.

“Melalui Kubas juga, saya mendepani anak-anak muda yang rajin dan aktif,” katanya.   

Kini, Ruhie masih meneruskan perjuangan dalam memartabatkan teater menerusi Persatuan Teater Alor Setar (Pentas).

“Sastera dan teater terus mendominasi hidup saya.

“Dalam Pentas, saya mempelbagaikan genre dan ia tidak bertumpu kepada teater semata-mata,” katanya.