BILA mana satu bangsa itu tidak lagi mengamalkan budayanya lagi maka tunggulah kebinasaan bangsanya”, itulah pesanan terakhir yang disampaikan Allahyarham, Tan Sri Omardin Mauju kepada anaknya, Datuk Megat Zulkarnaian Omardin yang kini menggalas amanah besar selaku Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka).

Sisipan Maskulin yang berpeluang menemubual Datuk Megat Zulkarnaian di Kompleks Lincah Mahaguru Omardin di Batu Caves, Selangor, baru-baru ini menyelami makna tersirat disebalik kata-kata tersebut untuk dikongsikan bersama.

Pembabitan awal

Secara peribadi mula serius ketika berusia tujuh tahun, arwah bukan sahaja seorang ayah tetapi guru dan jika saya berjaya menjadi pemimpin kecil pada hari ini ia adalah didikan kecil yang disemaikan dengan cara ketegasan dan disiplin kerana itu adalah latihan.

Allahyarham pernah menyatakan kepada saya dalam membuat sesuatu keputusan, seandainya kita merasakan sesuatu perkara itu betul, yakin betul serta tahu ia betul perlulah dipertahankan, tetapi jika perkara itu salah dan betul salah perlulah minta maaf walaupun kepada peminta sedekah.

Sudah sebati

Silat adalah darah daging saya, semua ini saya lakukan dalam Pesaka bersama Presiden, Senator Tan Sri Dr Mohd Ali Mohd Rustam. Tiada toleransi dalam kebenaran. Silat besar maknanya kepada pembentukan anak bangsa, modal insan dan jati diri.

Bila ada jati diri yang kuat, kita mampu bertahan dengan pemikiran tidak elok yang cuba meracuni, bangsa melayu jangan perlekehkan budaya sendiri, lebih 600 guru silat di Malaysia ini kini aktif memastikan seni warisan ini terus gah di mata dunia.

Pesanan Arwah

Silat memang mutlak orang melayu, pakaian budaya orang melayu,bila mana satu bangsa itu tidak lagi mengamalkan budayanya lagi maka tunggulah kebinasaan bangsanya. Itulah pesanan arwah kepada saya yang menjadi pegangan untuk memastikan Pesaka terus mencipta nama di pentas dunia.

Walau apa pun andaian dibuat pada zaman moden ketika ini dengan penggunaan senjata canggih jangan sesekali lupakan kekuatan pancaindera kita, berapa ramai yang dibenarkan memiliki senjata api.

Lihat sahaja ketika ini, isu keganasan, rogol dan buli berlaku tanpa mengira tempat dan mangsa, adakah kita sentiasa bersedia dengan senjata moden. Jadi kekuatan pancaindera itu penting dan Silat adalah jawapan untuk memastikan keselamatan kita setiap masa. Jangan lupa indentiti bangsa dan budaya kita sendiri.

Pengiktirafan

Syukur kerana kerajaan Malaysia kini telah mengiktiraf silat sebagai seni mempertahankan negara pada 2015 selepas beberapa puluh tahun diperjuangkan. Terima kasih kepada Kerajaan.

Legasi ini perlu diteruskan kerana saya boleh jamin kalau ada identiti bangsa melayu yang mutlak adalah silat.

Harapan

Dari segi konteks budaya, kita tiada pilihan selain mesti memastikan silat itu releven, selagi ada melayu atas muka bumi ini silat mesti ada. Legasi persilatan perlu diteruskan.

Dalam konteks sukan pula, saya memang berusaha dan teringin melihat silat dipertandingkan pada Sukan Olimpik. Usaha ke arah memastikan ia menjadi realiti kini sedang giat dijalankan dengan langkah pertama telah menampakkan hasil apabila acara Silat akan dipertandingan pasa Sukan Asia 2018 di Palembang, Indonesia nanti.

Strategi untuk memastikan impian Olimpik kini dilakukan dengan mendapatkan sokongan dari negara-negara besar seperti China, Korea Selatan dan India. Buat masa ini setiap daerah di Korea Selatan ia telah mula berkembang hasil usaha keras yang dilakukan Pesaka sejak 2000 lagi.

Untuk menjadi hebat kita perlu berada diluar, jangan sekadar gah berkokok dalam digelanggang sendiri tetapi layu apabila berdepan ditempat lawan.


Profil Ringkas:
NAMA: DATUK HAJI MEGAT ZULKARNAIN TAN SRI DATUK WIRA HAJI OMARDIN
JAWATAN KINI: AHLI DEWAN NEGARA / SETIAUSAHA AGUNG PESAKA
TARIKH LAHIR: 16 OKTOBER 1969
TEMPAT LAHIR: GOMBAK, SELANGOR DARUL EHSAN.
NAMA ISTERI: DATIN HANIZAM HARUN
BILANGAN ANAK: 3 ORANG (LELAKI/PEREMPUAN)
NAMA ANAK-ANAK: 1. MEGAT FIRDAUZ PUTRA, 2. MEGAT FARHAD PUTRA, 3. MUHAMMAD ESHMEN NATAZHA

ANUGERAH/PINGAT
2001  - Ahli Mangku Selangor (A.M.S) KDYMM SULTAN SELANGOR
2004 – Darjah Johan Negeri (D.J.N) TYT YANG DI-PERTUAN PULAU PINANG
2006 – Darjah Negeri Sembilan (D.N.S) KDYMM YANG DIPERTUAN BESAR NEGERI SEMBILAN
2008 – Kesatria Mahkota Wilayah (K.M.W) KEMENTERIAN WILAYAH PERSEKUTUAN
2011 – Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.S.M) TYT YANG DI-PERTUA MELAKA