"Saya pernah merasai bagaimana peritnya lalui hidup dalam kepayahan. Banyak perkara sedih yang berlaku dan paling diingati, pernah anak saya mendapat tawaran ke kolej tetapi tidak tahu di mana harus dapatkan duit.

"Setelah berfikir panjang, saya pun terus keluar rumah dan mencari besi-besi buruk untuk dijual bagi mencari modal dan bekal buat anak saya melanjutkan pelajaran.

Demikianlah secebis kisah permulaan Mohd Sufian Mohd Sariff, 44, buat dikongsi pada kali ini. Pertemuan diatur dan penulis pun merentasi lebuh raya dari Shah Alam melaju ke Bukit Sentosa.

Beliau kini ligat menguruskan gerai menjual ayam bersama isterinya, Mariati Hamid, 42, dengan dibantu enam pekerja dan seorang anak mereka.

Menurut Sufian, tahun 1998 mereka berhijrah ke Bukit Sentosa di Hulu Selangor, setelah sekian lama tinggal di Kuala Lumpur. Di Bukit Sentosa, Sufian mencuba mencari rezeki dengan membuka bengkel kimpalan besi, mengambil upah membuat pagar, tingkap dan sebagainya. Dia melakukannya tanpa pengalaman, kerana sebelum ini dia hanyalah seorang pekerja kilang.

Buat permulaan, perniagaannya berjalan baik. Sufian mampu membuat keuntungan sehingga RM6,000 sebulan. Namun, dia tidak mampu meneruskan persaingan. Pihak yang bermodal besar datang berhijrah ke Bukit Sentosa dan membuka perniagaan sama. Dia kalah dalam persaingan dan mulai rasai kesusahan.

“Pada tahun kelima perniagaan, tatkala itulah saya rasa paling getir. Sudah lebih lima tahun rumah tidak dibayar sewa. Bekalan elektrik dan air bukan kata dipotong, malah meternya pun telah dicabut oleh pihak pembekal.

"Mujurlah tuan rumah bermurah hati menghalalkan sewanya. Sungguh menderita rasanya. Ketika itulah, seorang teman mengesyorkan saya mengunjungi Lembaga Zakat Selangor (LZS)," ujarnya.

Peringkat awal Sufian dan isteri enggan meminta bantuan, memandangkan mereka tinggal di sebuah rumah banglo yang disewa dengan kadar RM500 sebulan. Mereka juga mempunyai sebuah kereta yang diberikan oleh adik Sufian.

“Sufian, itu semua bukan harta kamu. Rumah itu, kamu sewa dan kereta itu, adik kamu yang punya. Jangan dengar apa orang kata, fikirkan nasib anak-anak," marah kawan saya apabila saya enggan memohon bantuan.

Mohon bantuan demi teruskan hidup

Sekitar tahun 2003 Sufian tampil mengadu kali pertama. Tidak lama kemudian, LZS menyalurkan beberapa bantuan seperti bantuan pendidikan, bantuan Ramadan dan bantuan bulanan.

Memandangkan Sufian juga mempunyai bengkel besi, LZS telah meluluskan bantuan lebih RM10,000 sebagai modal tambahan.

“Dengan modal itu, saya berharap dapat meneruskan perniagaan. Namun ternyata amat sukar bertahan dalam bidang berkenaan. Akhirnya, saya mengalah setelah berhempas-pulas mempertahankannya," Sufian meluahkan perasaan.

Masa terus berjalan. Sufian yang masih bergelar asnaf, terus dibantu. Menjelang tahun 2008, Sufian sekali lagi mencuba untuk menjalankan perniagaan.

Bermodalkan RM5,000, Sufian menggagahkan diri membuka gerai menjual ayam mentah di Pasar Bukit Sentosa.

“Saya amat berterima kasih kepada teman-teman dan juga sanak-saudara. Bukan setakat orang Melayu, teman saya dari bangsa Cina juga membantu. Saya bertekad untuk terus gigih dalam perniagaan ini, kerana prospeknya lebih besar berbanding semasa membuka bengkel besi dahulu," ujarnya.

Sufian berkata, mungkin orang ramai melihat berniaga ayam nampak mudah, namun realitinya amat sukar.

"Kesukaran itu saya redah kerana tidak mahu berada di dalam zon selesa dibantu LZS selama-lamanya. Saya sematkan dalam diri, bila berniaga buat sepenuh hati.

“Bila LZS bantu, saya tetapkan keazaman untuk keluar dari lingkaran asnaf. Saya cari pasaran di luar, misalnya ke restoran dan kedai makan.

"Bila pelanggan datang, saya tidak berkira dengan harga, kadang-kadang saya bagi kurang. Bila pelanggan gembira, mereka datang lagi ke gerai saya," Sufian berkongsi sebahagian tip kejayaannya.

Kini, Sufian dan Mariati sudah boleh menarik nafas lega. Mereka mampu menjual sehingga lebih 60 bakul ayam setiap hari. Itu belum diambil kira ayam pencen (ayam telur tua), itik dan arnab yang jika diminta pelanggan, mereka mampu menyediakannya.