MAJIKAN sering mengeluh mengenai graduan hari ini yang tidak begitu kompetan dan sikap tidak acuh mengenai pekerjaan yang dipilih. Ramai menganggap  kerana faktor pasaran kerja hari ini yang tidak menentu selain prinsip ‘janji ada kerja’.

Seorang majikan, Rozan Dhamiree berkata, sesi temuduganya mendapati  sudut ekspresi diri golongan muda ini amat lemah.

“Mereka tidak pandai bercakap secara ilmiah, kaku dan kurang memberi impak. Dan rata-rata mereka kurang kreatif dalam mempersembahkan personaliti diri dan terlalu bergantung pada kertas resume sahaja.  Kadang-kadang apa yang ditulis pun mereka sendiri tak tahu kerana hanya copy and paste daripada internet,” katanya kepada Sinar Harian.

Ditanya mengenai tular di laman sosial mengenai majikan yang mengeluh kerana sikap anak-anak muda yang agak biadab ketika mencari kerja, Rozan bersyukur perkara itu belum lagi terjadi kepada dirinya.

“Namun jika ia berlaku, perkara pertama yang akan saya lakukan adalah bertenang. Mereka ini berdarah muda dan cepat melenting, sebagai seorang yang lebih tua kita cuba berlembut dan menggunakan kaedah psikologi untuk selami perasaan dan sebab mereka berlaku biadab. Bak kata pepatah, api tak boleh dipadamkan dengan api. Jika kita berkeras, mereka akan lebih biadab,” katanya.

Menceritakan pendiriannya sebagai majikan, Rozan memberitahu, dia akan cuba menyelami sikap pekerjanya supaya dapat lebih memahami mereka.

Katanya lagi, pada setiap kali temuduga, dia akan mengingatkan bakal pekerja menggunakan konsep ‘personality masking’ agar mereka dilihat sehabis baik di mata bakal majikan.

Selain itu, Rozan yang juga Pengarah Urusan Primocore Sdn Bhd turut menasihatkan pencari kerja muda terutamanya graduan agar menjadi diri yang sebenar, bersedia ketika ditemuduga dan bercakap secara ilmiah.

“Banyakkan membaca serta bergaul dengan orang yang lebih pengalaman, lebih hebat dan lebih tua daripada kita. Belajar control nafsu dan darah muda serta belajar bercakap menggunakan akal bukan emosi,” katanya.

Sementara itu, Rozan turut membidas sesetengah pendapat yang mengatakan anak-anak muda kita sekarang lebih lantang dan biadab.

Katanya terdapat perbezaan halus di antara lantang dan biadab dan kita harus mengetahuinya.

“Lantang tidak semestinya biadab dan biadap tidak semestinya datang daripada orang muda. Orang lama pun boleh jadi biadab. Ia bergantung pada dua perkara. Yang pertama, adakah apa yang dicakap itu fakta, dan cara penyampaian fakta tu.

“Kadang-kadang seorang anak muda memberi hujah fakta yang betul dan dengan cara lemah lembut, namun orang lama tersebut tersinggung dan terus mengatakan anak muda itu biadab.

“Fakta adalah fakta dan selalunya ramai manusia tidak dapat menerima kenyataan apabila fakta tersebut berbeza dengan pendiriannya. Bagi saya, sebelum kita menuding jari, lebih baik kita berfikir sejenak dan tidak adil kalau terus-terusan melabelkan bakal pekerja berusia muda ini terlalu lantang dan biadab,” katanya.