DI kala sibuk bercakap soal Neelofa dan kisah gadis manja yang mahukan cendol, sedarkah kita bahawa ada peristiwa lebih penting untuk dibincang, ambil iktibar dan renungan.

Ingatkah kita, baru-baru ini, Amerika Syarikat menerusi Presidennya, Donald Trump mengumumkan bahawa tarikh pemindahan kedutaannya dari Tel Aviv ke Jerusalem jatuh pada 14 Mei 2018.

Jadi, apakah signifikan pengumuman tarikh itu?, bagi mereka yang mengikut rapat isu Palestin-Israel pasti akan sedar bahawa pemilihan tarikh itu ada kena mengena dengan sejarah menyayat hati Palestin.

Sama ada sengaja atau tidak, tarikh itu dipilih bagi meraikan kejayaan rejim Israel merampas tanah suci Palestin.

Pada hari itu, negara haram berkenaan akan menyambut ulang tahun Hari Kebangsaan ke-70.

Mengimbau kembali detik tarikh itu, sejarah mencatatkan tentera rejim Israel melakukan serangan pencerobohan dan pemusnahan hinggakan lebih 500 bandar dan kampung di Palestin dan menyebabkan lebih 800,000 warga Palestin menjadi pelarian.

Oleh sebab itu, tarikh berkenaan diingati sebagai Hari Nakba yang bermaksud 'hari malapetaka'.

Memasuki era milenium hari Nakba itu disambut pada 15 Mei setiap tahun, iaitu satu hari selepas perisytiharan penubuhan negara Israel dan hari berakhirnya mandat Britain di Palestin pada 1948.

Tarikh penting tersebut menjadi detik hitam bagi penduduk asal bumi Palestin, orang Arab dan dunia Islam secara keseluruhannya.

Rejim Zionis bertindak di luar batas kemanusiaan. Nyawa penduduk Palestin bagaikan tiada nilai di mata mereka.

Pelbagai peristiwa pembunuhan beramai-ramai berlaku sepanjang peristiwa Nakba.

Justeru, sebagai umat yang prihatin dan dekat dengan isu Palestin apa rancangan kita untuk  ulangtahun Nakba70 nanti.

Atau kita sebenarnya masih lalai dengan isu lain? sama-sama kita renungkan.