PADA tahun 1982, dua pekan di Chile, Humberstone dan LaNoria 'dihidupkan' dengan kesibukan aktiviti perlombongan mineral potasium nitrat.

Pekan yang didiami oleh ribuan penduduk ini bukan sahaja dilengkapi dengan kemudahan sekolah dan pasar raya, malah petempatan tersebut turut menyediakan panggung wayang serta pentas bagi hiburan penduduk kawasan itu.

Bagaimanapun kesemuanya  hancur musnah apabila mineral yang dicari gali telah menjadi punca peperangan antara Bolivia dan Chile.

Difahamkan, mineral tersebut menjadi rebutan antara pekerja Bolivia dan kerajaan Chile, sekaligus mencetuskan punca kepada peperangan antara kedua negara tersebut.

Peristiwa hitam itu telah mengorbankan ribuan nyawa pekerja lombong di kedua pekan itu.

Setelah Perang Dunia I tercetus, semua orang tidak lagi berminat untuk meneruskan aktiviti perlombongan.

Sedikit demi sedikit, penduduk pekan mula meninggalkan rumah masing-masing bagi mencari sumber pendapatan baharu; menyebabkan kedua pekan beransur hening sedikit demi sedikit.

Pada 1960, pekan Humberstone dan LaNoria telah ditinggalkan sepenuhnya. Tidak ada sesiapa mendiami pekan tersebut.

Apa yang menjadi tarikan di kedua pekan itu adalah keadaan penempatan kuburnya yang begitu ngeri; di mana kesemua kubur digali semula dan dibiarkan terbuka.

Ia sekaligus meninggalkan pemandangan yang mengerikan, menyebabkan tidak ada sesiapa berani singgah atau berkunjung ke kedua pekan ini pada waktu malam.

Sehingga kini, keadaan di Humberstone dan LaNoria tidak banyak berubah.

Terdapat dakwaan mengatakan roh-roh mereka yang terkorban ketika peperangan itu akan bangkit dan berjalan di jalan-jalan sepi di pekan tersebut pada malam hari.

Ia kerana mereka tidak tenteram apabila kubur mereka digali semula dan diceroboh oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Panggung wayang, peralatan dan jentera melombong serta kilang memproses mineral masih lagi gah berdiri di sana.

Pekan Humberstone kini telah disahkan sebagai tapak warisan dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

Unesco kini berusaha untuk memulihkan pekan ini bagi tujuan kehadiran pengunjung pada masa hadapan.