PERASAAN  tidak puas hati merupakan antara bibit-bibit permulaan kepada berlakunya buli dalam kalangan pelajar sekolah, kata pakar psikologi, Prof Madya Dr Ruhani Mat Min.

Ruhani berkata, perasaan tidak puas hati tersebut timbul berikutan kehendak seseorang yang tidak dipenuhi sehingga menimbulkan perasaan marah di dalam diri mereka.

“Apabila wujud perasaan marah, mereka tidak tahu untuk menyalurkan kemarahan tersebut kepada siapa dan mula mencari individu lain yang tidak berkaitan.

“Kemarahan yang timbul itu mungkin tidak berkaitan langsung dengan individu yang dipukul tapi dia (pembuli) tengok itu peluang untuk dia salurkan kemarahan dia,” katanya.

Oleh sebab itu, Ruhani  berkata ahli keluarga dan masyarakat perlu memainkan peranan mereka dengan baik kepada anak-anak kecil supaya mereka dapat diberikan pendidikan awal berhubung kegiatan buli ini.

Menurut Ruhani, salah satu cara yang berkesan untuk mengatasi kegiatan buli adalah dengan memberi perhatian dan sokongan sepenuhnya kepada anak-anak kecil supaya mereka tidak merasa tersisih dengan keadaan sekeliling.

“Sebagai contoh, ketika di rumah anak tidak diberi perhatian, dipukul, dan dari situlah bermula perasaan tidak puas hati dan timbul kemarahan mereka.

“Buli ini dibentuk daripada keluarga serta persekitaran dan dalam hal ini setiap orang memainkan peranan bukan sahaja ibu bapa tapi juga masyarakat,” katanya.

http://polopoly.karangkraf.com:8080/polopoly/polopoly_fs/1.725256.1503798564!/image/image.jpg
Prof Madya Dr Ruhani Mat Min

Selain itu, Ruhani berkata, kepesatan media elektronik pada masa kini yang kerap kali memaparkan adegan keganasan secara terbuka dalam penyiaran mereka juga telah mendedahkan pelajar sekolah kepada budaya buli.

Ruhani berkata, sekiranya anak-anak kecil ini tidak mendapat pemantauan dan panduan sewajarnya dalam kalangan ahli keluarga, mereka akan menganggap tindakan ganas dan pukul tersebut sebagai sesuatu yang diterima dalam masyarakat.

“Perkara ini memang nampak kecil namun sebenarnya ia beri kesan dan impak besar kepada perkembangan anak-anak di peringkat awal,” katanya.

Ruhani turut menasihati ibu bapa supaya selami perasaan pelajar terlibat dalam kegiatan buli sebagai tanda sokongan dan bukannya memberi tekanan secara berterusan kepada mereka.

Katanya, ibu bapa sewajarnya mencuba untuk mendengar sebab mendorong anak-anak mereka terlibat dengan kegiatan buli.