KEPALA BATAS - Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi yakin dengan keupayaan Barisan Nasional (BN) untuk menang besar pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).
   
Beliau berkata ini berikutan BN telah berusaha keras membawa perubahan besar kepada negara dan rakyat menerusi pelbagai perancangan dan program transformasi.
   
"Nak kerajaan yang kuat perlu menang dua pertiga kerusi Parlimen dan saya yakin BN boleh dapat kerana mereka telah bekerja keras.
   
"Saya harap mereka (rakyat) akan terus bagi sokongan (kepada BN) supaya segala program transformasi dan perancangan dapat diteruskan pada masa hadapan. Itu semua adalah untuk rakyat juga," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jiwa Murni KD Sri Pinang bersama masyarakat Permatang Sintok di sini hari ini.
   
Pada program sehari itu, seramai 75 anggota pasukan simpanan sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia bersama penduduk kampung membaiki rumah orang miskin dan Orang Kurang Upaya (OKU), menjalankan kerja gotong royong dan aktiviti membersih rumah di kawasan itu.
   
Mengenai pembubaran Parlimen, beliau berkata ia bukan satu isu kerana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai jangka masa tertentu untuk berbuat demikian.  - Bernama