BATU PAHAT - Umno kini lebih yakin dengan kekuatannya untuk PRU14 dan akan menjadikan wanita sebagai 'aset' untuk menakutkan pembangkang bagi memenangi pilihan raya kerana kerja kuat ditunjukkan sayap Umno itu.

Pada  masa sama, Umno juga mahu manambah kerusi bagi calon di kebanyakan kawasannya, kerana mahu menghargai perjuangan Wanita untuk parti.

Naib Presiden Umno yang turut menjalankan tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebelum ini beliau juga pernah berbisik dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak berkenaan usaha untuk menghargai Wanita.

Katanya, beliau tahu yang Wanita adalah tulang belakang kepada perjuangan Umno dan pada masa sama, dengan gerak kerja dilakukan seperti Jalinan Rakyat (JR) dan JR Plus sememangnya senjata yang menjadikan Umno terus kuat serta sentiasa di bibir pengundi.

"Bagi menjadikan wanita ini sebagai 'aset' dan juga senjata untuk menakutkan pembangkang, kita bercadang untuk menambah calon wanita sehingga 30 peratus dalam PRU yang akan datang berbanding sebelumnya.

"Ia juga adalah sebagai cara kita untuk hargai Wanita, sayangi mereka dan bukannya takut...malah ia bertujuan untuk mengiktiraf perjuangan wanita dalam perjuangan mereka sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyurat Perwakilan Umno Bahagian Parit Sulong 2017 di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Batu Pahat, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Ketua Umno Bahagian Parit Sulong, Datuk Zulkurnain Kamisan dan Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Dr Noraini Ahmad.

Ahmad Zahid berkata, kepercayaan diberikan kepada pimpinan Umno negeri untuk mencari pemimpin wanita berkebolehan di pelusuk negeri ini bagi menerajui kawasan masing-masing dengan mengetengahkan mereka dalam PRU akan datang.

Katanya, wanita juga boleh menjadi pembuat dasar kerana kita percaya yang wanita di negara ini profesional dan tidak mustahil juga boleh menjadi pembuat keputusan sebagaimana yang kini mula dipraktikkan di negara lain yang memilih wanita Islam.

"Kita lihat negara lain yang turut memilih calon wanita termasuklah calon wanita Islam seperti di Bangladesh, Thailand, Jerman dan baru-baru ini Singapura yang mencalonkan wanita Islam sebagai Presiden mereka.

"Dalam masa sama kita juga terus menghormati agama dan kaum lain...dan 'Rumah Besar' BN ini akan terus dijaga dengan sebaik yang mungkin, jika ada masalah dalaman selesaikannya dengan baik," katanya