JOHOR BAHRU - Umno Bahagian Tebrau akan meneruskan usaha untuk mendaftar pengundi baru dalam persiapan awal menghadapi PRU14.

Menerusi usaha itu, jentera parti menggalakkan penduduk yang berhijrah dan bermastautin di kawasan Tebrau supaya menukar alamat.

Ketua Umno Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang berkata, usaha itu amat penting di samping menggandakan inisiatif memupuk kesedaran politik berikutan ramai penduduk berbangsa Melayu yang masih tidak berdaftar sebagai pemilih.

“Bila kita buat pemeriksaan ada yang masih menggunakan alamat di Kota Tinggi, Pengerang, Tenggara dan lain-lain. Mereka tidak mahu tukar alamat kerana ‘sayangkan’ kad pengenalan sedangkan orang luar yang datang ke negeri ini tukar alamat untuk jadi pengundi tempatan.

“Inilah sikap orang kita yang perlu diubah. Ada beberapa kawasan seperti rumah pangsa yang ada 2,000 penduduk, tetapi yang menjadi pengundi tempatan hanya kira-kira 800 orang,” katanya pada Majlis Makan Malam Meraikan Jentera Pemuda Umno Tebrau PRU13 di Tanjung Puteri Golf Resort, dekat sini, kelmarin.

Turut hadir, Ketua Pemuda Umno Bahagian Tebrau, Syahrin M. Jamaluddin dan Pengarah Unit Perhubungan Alumni Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Othman Ibrahim.

Majlis turut menyaksikan pelancaran program Ziarah Ramadhan edisi ke-9 membabitkan kerjasama mahasiswa UTM.

Menyentuh mengenai Ziarah Ramadhan kali ini, beliau menyifatkan kerjasama mahasiswa bertujuan menunjukkan golongan muda sentiasa prihatin.