AMPANG - "Kita masih dalam Pakatan Rakyat (PR)," demikian jawapan ringkas Presiden Pas, Datuk Abdul Hadi Awang ketika ditanya adakah Pas akan ‎memboikot sekiranya Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ibrahim dicalonkan pada PRK Permatang Pauh sepertimana yang dinyatakan Pemuda Pas Pulau Pinang (DPP) sebelum ini.

‎Katanya, Pas masih setia dengan PR dan oleh itu tidak timbul isu memboikot Wan Azizah.

"Itu sahaja," katanya enggan mengulas lanjut mengenai isu itu ketika  sidang media selepas menghadiri Kongres Profesional Muslim Semalaysia di Majlis Perbandaran Ampang Jaya, di sini hari ini.‎

Baru-baru ini, Pemuda Pas Pulau Pinang mengumumkan tidak akan memberi kerjasama kepada PR untuk berkempen bagi PRK Permatang Pauh akan datang.

Ketua Pemuda Pulau Pinang, Mohd Yusni Mat Piah berkata, ia susulan kegagalan Angkatan Muda Keadilaan Pulau Pinang dan Majlis Eksekutif Pemuda Sosialis DAP yang enggan menarik balik kenyataan berhubung Pas dan hudud secara rasmi.

‎Sementara mengulas mengenai calon Pas yang akan bertanding dalam PRK Rompin, Hadi berkata calon tersebut akan di tentukan sebelum hari penamaan calon.

Menurut beliau, calon yang akan bertanding bergantung kepada pemilihan Pas Pahang.

"(Selepas itu), kita akan serah kepada Jawatankuasa Pilihan Raya Pas Pusat untuk mengendalikan urusan ini," katanya.

Menurutnya, beliau belum mendapat lagi senarai calon itu daripada Pas pusat ataupun negeri sehingga kini.

"Insya-ALLAH, saya akan dimaklumkan mengenai (bakal calon) sebelum penamaan calon," katanya.