SHAH ALAM - Bagi mengelakkan penularan politik samseng, Pas mengambil inisiatif memberi taklimat khas kepada anggota  parti itu supaya mengelakkan diri daripada budaya negatif tersebut.

Ketua Penerangannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia Dewan Pemuda Pas (Juham) akan memastikan setiap anggota parti diberi taklimat khas mengenai bahaya budaya itu jika diamalkan.

Menurutnya, langkah itu diambil bagi menguatkan parti itu dan berpolitik secara sihat dan bersih.

"Juham akan sentiasa turun padang. Kita akan lakukan berulang kali jika keadaan membimbangkan. Kita tidak mahu ahli terperangkap dengan budaya samseng ini kerana ia bukan budaya kita.

"Memaki hamun, membaling batu dan sebagainya. Ia hanya merosak bangsa dan menjatuhkan maruah sahaja," katanya, semalam.

Katanya, beliau juga bimbang budaya yang pernah wujud sekitar tahun 70-an ini menular semula dan berharap semua pihak akan memainkan peranan menanganinya.

"Saya mohon semua anggota masyarakat khususnya pihak terbabit seperti polis, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan semua parti politik mengembalikan imej politik bersih di negara ini.

"Saya juga yakin, rakan-rakan DAP dan PKR turut melakukan perkara sama dengan memberi taklimat seperti ini," katanya.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan budaya politik samseng tidak pernah wujud di dalam  parti itu.

Menurutnya, secara spesifik menjadi anggota parti, mereka sudah  termaktub dengan perlembagaan untuk menjaga tatasusila dan peribadi diri.

"Ia jelas dan perkara itu telah dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh semua ahli termasuk kepimpinan tertinggi parti itu. Tidak ada ahli yang berkelakuan begini. tiada istilah politik samseng dalam PKR," katanya.