PETALING JAYA - Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Abdul Halim Mansor menyangkal dakwaan bahawa beliau telah menggadai prinsip perjuangan dengan menerima imbuhan dalam bentuk wang tunai daripada pihak-pihak tertentu termasuk parti politik.

"Tidak, tidak. Memang saya ada dengar macam-macam, ada yang mengatakan saya terima wang... boleh 'check' (akaun bank)," katanya sambil meletakkan jari di paras hidung, seolah-olah isyarat beban kewangan peribadi yang perlu dilalui.

Dalam pertemuan dengan Sinar Harian Online baru-baru ini, Abdul Halim menceritakan secara terbuka isu yang beliau secara kebelakangan ini.

Beliau yang dipilih ke jawatan setiausaha agung dua tahun lalu berhadapan dengan kritikan dan dakwaan bahawa tidak mempamerkan prestasi memuaskan sebagai setiausaha agung pergerakan induk pekerja itu.

Beberapa pihak mendakwa beliau dan Presidennya, Khalid Atan gagal memenuhi harapan anggota sepanjang dua tahun lalu.

Kritikan lebih menjurus kepada Abdul Halim.

Abdul Halim juga didakwa menerima wang tunai daripada  konglomerat tertentu yang ada kaitan dengan syarikat berkaitan dengan kerajaan.

Malah Abdul Halim juga didakwa lebih condong kepada ideologi politik Barisan Nasional khususnya Umno walaupun ramai melihat pemimpin MTUC terdiri daripada pemimpin berlainan pegangan politik.


Mahu pertahan jawatan

Sambil menegaskan kritikan dan dakwaan tidak menjejaskan tugas sehariannya, Abdul Halim berkata, beliau akan bertanding mempertahan jawatannya pada pemilihan hujung tahun ini, buat penggal kedua.

MTUC akan mengadakan pemilihan tiga tahun sekali, dijangka Disember ini.

Beliau sebelum ini berhadapan dengan usaha undi tidak percaya sebanyak tiga kali.

"Ya, saya akan tanding pertahankan jawatan... saya yakin dengan prestasi, keupayaan," kata beliau lagi.

"Sekarang barisan kepimpinan MTUC, perancangan dan pencapaian dalam dua tahun ini amat membanggakan, dua tahun ini positif, tanpa melupakan asas perjuangan MTUC.

"Kalau dilihat tempoh kepimpinan 18 tahun gandingan (Tan Sri) Zainal (Rampak, bekas presiden) dan G Rajasekaran (bekas setiausaha agung), saya melihat pencapaian dua tahun ini membanggakan... telah mula melihat hasil," kata beliau yang juga Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja-pekerja Petroleum dan Kimia.

Mengenai usul undi tidak percaya sebelum ini, kata Abdul Halim, beliau menyerahkan kepada perwakilan untuk membuat keputusan.

"Saya serah kepada perwakilan," katanya sambil mengakui beliau satu-satunya setiausaha agung yang berhadapan dengan pengalaman getir apabila berhadapan dengan tiga usaha undi tidak percaya.

"Dalam konteks semasa, MTUC dan kesatuan gabungan mesti memainkan peranan mereka secara kolektif," katanya.

Abdul Halim menjadi perhatian di sebalik kontroversi berkaitan dengan gaji minimum dan juga pelaksanaan usia persaraan 60 tahun bagi sektor swasta, selain pindaan Akta Kerja lebih dua tahun lalu.

Dalam temu bual ini, kata beliau, sepanjang tempoh dua tahun lalu MTUC telah memperoleh kejayaan dalam beberapa tuntutan dan perjuangan kepentingan pekerja tanpa menggunakan pendekatan kontroversi dan konfrontasi.

"Kepimpinan semasa menggunakan pendekatan positif, mengadakan perundingan... memang saya akui, beberapa tuntutan seperti gaji minimum telah lama dibawa, oleh kepimpinan lalu.

"Tetapi ia dicapai pada hari ini, tanpa pendekatan konfrontasi... ini cara dan strategi kami sekarang," kata beliau lagi sambil menambah, "yang penting ialah kita dapat mencapai objektif."

"Penyelesaian yang dapat memartabatkan MTUC... ini ditekankan oleh kepimpinan MTUC sekarang," kata Abdul Halim.