CHUKAI - Perpaduan dan kesatuan hati yang ditunjukkan ahli Umno di Bahagian Kemaman yang terus setia dalam perjuangan parti walau pelbagai 'ribut dan badai' melanda sebelum ini perlu menjadi contoh untuk ahli Umno di seluruh negara.

Ketua Wanita Umno, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, sudah menjadi adat di dunia untuk setiap manusia berdepan pelbagai cubaan dan dugaan apatah lagi dalam bidang politik yang penuh cabaran dan ranjau.

"Dalam politik, tiap-tiap hari ada pelbagai cubaan, namun disebabkan kepimpinan yang ada pada mereka dan mereka tenang menghadapinya, jadi mereka meletakkan perjuangan parti dan kerajaan lebih bermakna dan mustahak daripada kepentingan individu.

"Jadi, sebab itu saya tengok Kemaman sekarang ini, alhamdulillah (semakin bersatu padu) dan mereka juga ada KPI (Petunjuk Prestasi Utama) untuk tentukan semua kawasan Dun dan Parlimen dapat dimenangi dengan majoriti lebih tinggi dan saya percaya ia akan dapat dicapai," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Kemaman di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Umno Bahagian Kemaman Datuk Seri Ahmad Said dan Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Ketua Pemuda Umno Bahagian Kemaman, Ahmad Fikry Ibrahim dan Ketua Puteri Umno Bahagian Kemaman, Shaheda Jusoh.

Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Shahrizat berkata beliau mewakili 1.3 juta anggota Wanita Umno di seluruh negara mengucapkan berbanyak terima kasih di atas keputusan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said untuk terus bersama Umno.

"Kami (Wanita Umno) amat memahami perjalanan politik Ahmad yang penuh liku sebelum ini dan beliau masih teguh, setia dengan parti meskipun melalui pelbagai dugaan dan cabaran.

"Datuk Seri Ahmad telah meletakkan semangat roh Umno yang tulen di hadapan mengatasi segala-galanya. Alhamdulillah Terengganu diselamatkan ALLAH SWT daripada macam-macam perkara (buruk) yang boleh berlaku," katanya.

Pada perkembangan lain, Shahrizat berkata beliau menyambut baik keputusan Menteri Besar  Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman yang bersetuju meletakkan calon wanita pada Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.

"Saya ada jumpa dengan menteri besar dan beliau menyatakan kali ini akan ada calon wanita, mesti ada....

"Yang menarik bagi saya, di Kemaman ini bertahun berzaman dahulu sudah ada wakil rakyat Terengganu pada tahun 1964 di Dun Chukai. Ini patutnya jadi semangat pada sayalah mesti ada calon wanita dari Terengganu (pada PRU) akan datang," katanya. –Bernama