KUALA LUMPUR - Senarai rasmi calon yang layak bertanding bagi pemilihan Umno Oktober ini akan diumumkan Selasa ini, setelah penamaan calon ditutup pada 5 petang Sabtu ini.

Setiausaha Kerja Umno, Datuk Abdul Rauf Yusoh berkata, tempoh bertenang selama tiga hari itu bertujuan memberi ruang kepada Jawatankuasa Pemilihan membuat saringan bagi menentukan kelayakan bakal calon untuk bertanding.

Bercakap kepada Bernama selepas sesi simulasi pencalonan di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, hari ini, Abdul Rauf berkata tempoh itu juga bagi membolehkan mereka yang telah menghantar borang pencalonan untuk menarik diri daripada bertanding.

"Kita tidak ada tempoh bantahan seperti pilihan raya, tetapi penolakan mungkin ada kalau ada maklumat yang tidak betul.

"Bagi yang hendak tarik diri, (beliau) boleh maklumkan kepada jawatankuasa, atau jika kenyataan penarikan diri itu dibuat melalui media pun, (ia) akan dikira (sebagai tarik diri) asalkan ia dikeluarkan oleh bakal calon sendiri dan dibuat dalam tempoh bertenang," katanya.

Abdul Rauf berkata selepas tempoh bertenang berakhir, senarai calon yang layak bertanding akan dimuktamadkan sebelum diumumkan.

Kemudian, ibu pejabat Umno akan mencetak kertas undi yang berkualiti tinggi dengan dilengkapi 18 ciri keselamatan termasuk nombor siri, katanya.

Beliau berkata kesemua kertas undi pula akan diedarkan kepada semua Bahagian Umno selewat-lewatnya sehari sebelum tarikh pemilihan dijalankan.

"Saya jamin ia akan sampai seminggu sebelum hari pengundian kalau keadaan logistiknya baik. Kalau tidak...sehari sebelum itu.

"Jawatankuasa pemilihan Umno akan meneliti setiap kertas undi yang diedarkan ke seluruh bahagian bagi memastikan ketelusannya dan ia dijamin selamat," katanya.

Tarikh mesyuarat perwakilan dan pemilihan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian dan pemilihan bagi jawatan Exco pusat bagi ketiga-tiga sayap parti itu akan diadakan serentak pada 12 Oktober ini.

Mesyuarat perwakilan dan pemilihan peringkat Bahagian dan jawatan Majlis Tertinggi pula dijadualkan serentak pada 19 Oktober.

Perhimpunan Agung Umno 2013 akan diadakan dari 2 hingga 7 Disember depan. - Bernama