SHAH ALAM - Exco Pas seharusnya melepaskan jawatan di dalam Kerajaan Selangor selepas parti Islam itu memutuskan tahaluf siyasi atau kerjasama politik dengan PKR.

Pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, tiada alasan buat exco Pas untuk kekal memegang jawatan  itu memandangkan parti itu sendiri telah sebulat suara memutuskan untuk hentikan sebarang kerjasama dengan PKR yang merupakan sebahagian dari Kerajaan Selangor.

“Perkara ini akan beri imej tidak baik kepada Pas sendiri kerana mereka masih ingin kekal dalam kerajaan negeri walaupun sepakat untuk putus hubungan dengan PKR,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Baru-baru ini juga, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan memaklumkan tiga exco parti berkenaan kekal dalam Kerajaan  Selangor sehingga Menteri Besar, Datuk Seri Azmin Ali buat keputusan dan dapatkan perkenan Sultan Selangor.

Azizuddin berkata, Pas tidak sepatutnya menyerahkan kepada Azmin untuk membuat keputusan selepas  parti itu membuat keputusan memutuskan hubungan dengan PKR.

“Sepatutnya Pas sendiri yang putuskan supaya exco mereka tarik diri dan bukannya tunggu arahan Azmin,”katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Pas Kelantan tak desak ahli PKR lepas jawatan]

Seorang lagi penganalisis politik, Prof Madya Datuk Dr Samsul Adabi Mamat berkata, exco Pas sepatutnya perlu mengikut keputusan muktamar dan Majlis Syura Ulamak yang sebelum ini memutuskan agar tahaluf siyasi itu dihentikan.

Sekiranya exco terlibat tidak mengikut arahan parti, Samsul berpendapat pihak terbabit boleh dikenakan tindakan disiplin kerana masih menjalinkan hubungan kerjasama dalam Kerajaan Selangor.

“Kalau mereka masih nak kekal, mereka kena declare yang mereka ada pendirian sendiri dan tak ikut pendirian parti.

“Barulah ia tak memeningkan kedudukan dalam parti dan kerajaan negeri sendiri,” katanya.

Sehubungan itu, Samsul berpendapat bahawa Pas kini sedang berdepan masalah kesatuan ahli berikutan daripada keputusan muktamar yang tidak selari dengan pemikiran ahli bawahan.

Tambah beliau, sekiranya Pas berterusan begini, ia bukan sahaja mencemarkan imej parti Islam itu malah turut menghampakan sebahagian daripada ahlinya.