ALOR SETAR - Beberapa Adun Dewan Undangan Negeri (Adun) dan pemimpin parti pembangkang termasuk Exco yang tidak dicalonkan semula dijangka bertanding sebagai calon bebas pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13).
    
Bekas Ketua Angkatan Muda PKR Kedah, Zamil Ibrahim berkata, mereka dijangka membentuk pakatan calon Bebas dan menggunakan satu logo menerusi gabungan yang bakal dibentuk tidak lama lagi.
    
Beliau berkata, antara individu yang akan terlibat dalam gabungan itu adalah beberapa Exco PKR serta pimpinan Pas dan DAP yang tidak berpuas hati terhadap pemimpin pakatan pembangkang yang gagal mendengar suara rakyat.
    
"Setakat ini saya dah ambil 10 borang pencalonan untuk kerusi Dun dan lima untuk kerusi Parlimen. Semua calon dah bersetuju untuk bergabung.
    
"Saya hanya buka ruang untuk kita bergabung dan membentuk satu pasukan bagi menghadapi PRU. Saya tidak berhasrat untuk mengetuai gabungan ini. Kita boleh beri kepada sesiapa yang boleh pikul tanggungjawab sebagai ketua," katanya kepada pemberita ketika  ditemui di pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Kedah di sini hari ini.
 
Zamil berkata, sebelum ini beliau melihat calon Bebas tidak mempunyai hala tuju tertentu menyebabkan orang melihat calon Bebas tidak serius dan main-main untuk menyertai PRU.
    
Katanya, pihaknya mungkin mengumumkan manifesto sendiri jika gabungan ini berjaya dilaksanakan sebelum PRU13 berlangsung.
    
"Sebelum ini ramai rakan (daripada parti pembangkang) menghubungi dan menyatakan hasrat untuk bertanding sebagai calon Bebas kerana tidak berpuas hati dengan sikap pimpinan parti masing-masing," katanya.
    
Dakwanya antara yang menerima kecaman adalah Pengerusi PKR Kedah Datuk Wan Salleh Wan Isa yang dianggap sebagai 'boneka' pimpinan atasan PKR kerana tidak mahu mendengar suara hati rakyat dalam soal menentukan calon yang bakal mewakili parti itu pada PRU akan datang.
    
Beliau turut mengajak Pengerusi DAP Kedah, Lee Guan Aik menyertainya jika masih dengan keputusan untuk bertanding sebagai calon Bebas dalam PRU13 berikutan keengganan rakan pakatan pembangkang memenuhi tuntuan beliau mengenai pembahagian kerusi.
    
Zamil berkata, perkara seperti pembahagian kerusi antara punca mengapa wujudnya calon bebas dan beliau menyasarkan seorang calon Bebas akan bertanding di setiap Dun atau Parlimen. - Bernama