PUTRAJAYA - [DIKEMSAKINI] Pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) N.74 Pujut, Sarawak akan diadakan 4 Julai ini, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah.

Beliau berkata, suruhanjaya itu dalam mesyuarat khas hari ini juga menetapkan tarikh penamaan calon bagi pilihan raya (PRK) itu pada 20 Jun serta memutuskan pengundian awal tidak diadakan.

Katanya Daftar Pemilih Induk (DPI) 2016 yang dikemas kini sehingga 11 Mei lepas akan digunakan untuk PRK itu.

"Daftar pemilih tersebut mengandungi 27,078 orang pemilih berdaftar yang terdiri daripada 27,070 orang pemilih biasa dan lapan orang pemilih tidak hadir luar negara," katanya pada sidang media selepas mesyuarat itu, di sini hari ini.

PRK Dun Pujut diadakan berikutan pelucutan kelayakan keanggotaan penyandangnya Dr Ting Tiong Choon sebagai anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) oleh Dun Sarawak pada 12 Mei lepas.

Dun Sarawak melucutkan kelayakan Ting daripada DAP sebagai Adun Pujut selepas usul dibuat Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang negeri Datuk Woon Soon Koh yang juga Adun Bawang Assan kerana Ting mempunyai dua kewarganegaraan iaitu Malaysia dan Australia.

Usul itu diluluskan selepas mendapat sokongan 70 anggota Dun manakala 10 yang lain membantah.

Ditanya mengenai hasrat DAP untuk mencabar keputusan Dun Sarawak itu di mahkamah, Mohd Hashim berkata SPR akan akur dengan sebarang keputusan mahkamah, namun PRK itu tetap perlu diadakan berikutan notis pemberitahuan kekosongan kerusi itu oleh Yang Dipertua Dun Sarawak Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar telah diterima oleh SPR pada 16 Mei lepas.

"Jika mahkaman memutuskan untuk mengekalkan kelayakan keanggotaan Ting, walaupun ketika itu PRK telah selesai, maka SPR akan akur kepada keputusan mahkamah.

"SPR perlu menjalankan tugas terlebih dahulu kerana tempoh diberikan (untuk mengadakan PRK mengikut Perlembagaan Persekutuan) adalah 60 hari dari tarikh kerusi dikosongkan, kita tidak tahu bila pula mahkamah akan bersidang," katanya.

Mengenai pelaksanaan PRK Dun Pujut, Mohd Hashim berkata, sebanyak lima buah sekolah akan digunakan sebagai pusat mengundi melibatkan 44 saluran tempat mengundi.

Selain itu, katanya, seramai 483 orang petugas pilihan raya akan dilantik untuk mengendalikan proses pilihan raya dengan anggaran belanjawan sebanyak RM838,536.

Tambahnya Pemangku Setiausaha Majlis Bandaraya Miri, Morshidi Fredrick, akan dilantik sebagai Pegawai Pengurus PRK itu.

Daftar pemilih pilihan raya akan mula dijual pada 15 Jun untuk semakan, kata Mohd Hashim.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-11 Mei tahun lepas, Dr Ting, menang dengan majoriti 1,759 undi menewaskan tiga calon lain  iaitu Datuk Hii King Chiong (BN), Jofri Jaraiee (Pas) dan Fong Pau Teck (Bebas). - Bernama