HULU TERENGGANU - Barisan Pemuda dan Puteri Umno di pelbagai peringkat harus menguasai serta menjuarai perang siber, sekali gus lebih agresif lagi melakukan serang balas bagi menangkis segala fitnah dilemparkan pembangkang melalui laman sosial.

Ahli MajlisTertinggi Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sekiranya fitnah itu tidak dijawab atau tiada sebarang serang balas dilakukan ia menampakkan seolah-olah kerajaan sahaja bersalah dan pembangkang seperti tidak bersalah.

“Dalam dua pilihanraya lepas saya nampak pembangkang lebih ke depan dari segi kuasai perang siber berbanding kita. Sekarang ini walaupun saya tidak tahu kekuatan kita dan pembangkang, Pemuda serta Puteri Umno perlu menjuarai perang siber.

“Golongan muda rata-rata tidak membaca media ‘mainstream’, mereka lebih bergantung kepada media sosial dan segala perkara dibaca mereka adalah melalui media sosial. Sebagai orang muda, Pemuda Puteri Umno perlu lebih agresif, kita perlu dahului pembangkang.

“Kalau mereka(pembangkang) memfitnah kita melalui media sosial dan kita tiada jawapan kepada fitnah tersebut, akhirnya ia akan membentuk satu persepsi baharu dalam kalangan golongan muda sehingga mereka percaya fitnah dilemparkan itu.

“Oleh itu, kita mesti mempertahankan serangan dan pada masa sama perlu jadi macam mereka dengan mendedahkan segala kepincangan mereka kerana pembangkang juga tetap ada kelemahan.Kita bukan setakat mempertahankan tetapi juga menyerang balas, katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Hulu Terengganu  Tahun 2017 di Akademi Binaan Malaysia Wilayah Timur, Jenagur, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu, Datuk Jailani Johari; Timbalan Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu, Datuk Rozi Mamat serta ketiga-tiga ketua Sayap iaitu Wanita, Wanita dan Puteri.

Ismail Sabri yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, serang balas perlu dilakukan supaya rakyat tidak terus terpengaruh dengan fitnah dilemparkan pembangkang disebabkan kerajaan tidak menjawab atau menyerang balas.