KANGAR - Sebanyak 14 individu menarik diri daripada bertanding pelbagai jawatan peringkat bahagian Umno dan sayap dalam pemilihan parti di Perlis, Oktober ini.
    
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Perlis, Datuk Abdul Azib Saad berkata seorang daripada mereka menarik diri bertanding jawatan ketua bahagian manakala selebihnya adalah pelbagai jawatan lain di peringkat bahagian dan sayap parti.    

Ketika dihubungi malam ini, Abdul Azib berkata yang menarik diri daripada bertanding ketua bahagian ialah Anggota Dewan Undangan Negeri Mata Ayer Khairi Hasan yang menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Umno Bahagian Padang Besar.
    
Berikutan itu, penyandang jawatan Datuk Zahidi Zainul Abidin, yang juga Anggota Parlimen Padang Besar, mengekalkan jawatannya.
    
Senarai muktamad calon di Perlis akan diumumkan dalam tempoh terdekat, kata Abdul Azib kepada Bernama.
    
Pada Sabtu, 540 anggota Umno menyerahkan borang pencalonan untuk bertanding jawatan di peringkat bahagian dan sayap parti di Perlis. - Bernama