JOHOR BHARU - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, masing-masing menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua Umno Bahagian Pagoh dan Pasir Gudang.
   
Turut mempertahankan jawatan tanpa bertanding termasuk Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang juga Ketua Umno Bahagian Semberong.
   
Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman yang juga Ketua Umno Bahagian Ledang dan Ketua Bahagian Sri Gading Datuk Mohamed Aziz tidak mempertahankan jawatan masing-masing bagi memberi laluan kepada muka baru.  
   
Pemilihan jawatan Ketua Umno Bahagian di Johor kali ini dilihat sengit apabila 16 daripada 26 bahagian akan menyaksikan pertandingan sekurang-kurangnya satu lawan satu, sehingga empat penjuru.
   
Ia turut menyaksikan kejutan apabila calon-calon yang mempunyai nama besar sebelum ini dicabar oleh 'orang kuat' bahagian masing-masing.
  
Antara yang jadi tumpuan ialah pertandingan jawatan Ketua Umno Bahagian Pengerang yang menyaksikan penyandangnya, Datuk Seri Azalina Othman akan dicabar oleh timbalannya, Datuk Harun Abdulah.
   
Turut mencabarnya Ketua Umno Cawangan Bandar Penawar, Abdul Jalil Kahar dan Bendahari Umno Bahagian, Mohamed Long.
   
Sementara Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dr Mohd Puad Zarkashi yang akan mempertahankan jawatan Ketua Umno Bahagian Batu Pahat akan dicabar oleh Adun Rengit yang juga timbalannya, Ayub Jamil.
   
Turut mengejutkan apabila 'otai Umno' Tan Sri Shahrir Abdul Samad yang telah menyandang jawatan sebagai Ketua Umno Bahagian Johor Baharu selama 31 tahun sejak 1982 bakal dicabar oleh Ketua Umno Cawangan Jalan Utama, Kampung Melayu Zulkifli Ismail dan Ketua Umno Cawangan Taman Suria, Datuk Ahmad Kemin. - Bernama