RANTAU PANJANG – Keputusan pilihan raya lalu dijadikan sandaran untuk meletakkan calon pada kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dan Parlimen dalam usaha untuk memastikan kemenangan mutlak menjadi milik Pas dan Umno.

Bagi Parlimen Rantau Panjang, P023, tiga penggal lalu iaitu pada PRU 10, 11 dan 12 menyaksikan Pas menang untuk kerusi Parlimen.

Bagaimanapun itu bukan kayu pengukur Pas akan terus menawan kerusi ini memandangkan kedua-dua pihak dilihat mempunyai peluang yang sama untuk menang.

Pada ketiga-tiga PRU tersebut, Abdul Fattah Haron menang bagi PRU10 dan PRU11 sementara Siti Zailah Mohd Yusoff pula pada PRU12, 2008 lalu.

Pada PRU11, Abdul Fatah Haron, menang dengan majoriti 732 undi mengalahkan Mohd Daud Hamat yang memenangi 14,295 undi yang kini memegang jawatan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Dun) Meranti.

Bagi kerusi Parlimen Pas, kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gual Periok, Mohamad Awang, Adun Bukit Tuku, Abdul Fatah Haron, Adun Meranti, Nassuruddin Daud, dan Ahli Parlimen, Siti Zailah Mohd Yusof dilihat mempunyai peluang untuk dipilih sebagai calon Parlimen pada pilihan raya akan datang.

Jika dilihat kepada pengalaman pilihan raya lalu, tidak semestinya calon yang menang kerusi Parlimen akan terus diletakkan sebagai calon untuk kerusi yang sama. Situasi ini agak jelas apabila Adun Bukit Tuku yang pernah memenangi kerusi Parlimen pada pilihan raya umum 1999 dan 2004, tidak terus diletakkan di kerusi Parlimen sebaliknya meletakkan calon wanita, Siti Zailah pada kerusi Parlimen.

Jika diteliti kepada tiga pilihan raya terdahulu, Adun Meranti, Mohd Nassuruddin Daud, menang pada ketiga-tiga pilihan raya sekali gus menerajui kepimpinan dalam tempoh agak lama di Dun Meranti dan tidak mustahil faktorkemenangan itu diambil kira kepimpinan Pas negeri untuk meletakkan beliau sebagai calon Parlimen pada PRU13.

Sementara itu, bagi Barisan Nasional, parti ini dilihat terus berusaha meraih kemenangan setelah hanya menang dua kerusi Dun pada PRU11.

Jika dilihat kepada senario semasa, kesemua pemimpin Umno tempatan mempunyai peluang untuk duduk di kerusi Parlimen.

Ketua Umno Bahagian, Datuk Abdullah Mat Yasim, Timbalan Ketua Umno Bahagian, Datuk Shaari Mat Hussain, Naib Ketua Umno Bahagian Rantau Panjang, Datuk Mohd Zain Ismail, Mohd Daud Hamat, Ketua Pemuda Umno Rantau Panjang, Mohd Afandi Yusof serta Ketua Wanita Umno Rantau Panjang turut berpeluang menjadi calon Parlimen P023 pada pilihan raya tidak lama lagi.

Selain daripada itu, Ghazali Ismail, pesara guru yang kini menggalas jawatan Penyelaras Dun Bukit Tuku dilihat antara muka baru yang ditonjolkan dalam politik Umno turut mempunyai banyak pengaruh.

Jika dilihat kepada pengaruhnya yang agak besar di Dun Gual Periok, tidak mustahil nama beliau juga akan disenaraikan sebagai calon oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri dan kepimpinan tertinggi Umno.

Beliau dilihat mempunyai pengaruh agakluar biasa di sekitar Dun Gual Periok memandangkan mempunyai keluarga besar dan ramai kenalan ditambah pula dengan kerjayanya pesara guru.

Sementara itu, dua pemimpin tempatan, Datuk Abdullah dan Datuk Mat Zain Ismail antara yang dikatakan berminat bertanding kerusi Parlimen Rantau Panjang.

Bekas Aun Gual Periok, Datuk Shaari Mat Hussain, 2004 hingga 2008 bagaimanapun antara yang disebut-sebut untuk turut dicalonkan di kerusi Parlimen biar pun ramai melihatnya lebih berminat kerusi Dun Gual Periok dan juga dilihat untuk cuba mengulangi kejayaan pilihan raya 2004 lalu.

Apa yang pasti kesemuanya mempunyai kelebihan dan pengaruh yang tersendiri di Bahagian Rantau Panjang.

Jika Abdullah dikatakan calon yang mempunyai peluang cerah untuk diletakkan sebagai calon di P023, kerana disenangi rakyat berikutan mempunyai sikap mudah mesra dan cakna kepada rakyat di parlimen ini, harus diingat Datuk Shaari Mat Husain juga mempunyai pengaruh tersendiri jika diukur dari segi kejayaan pada PRU11.

Selepas Pas muncul juara pilihan rakyat tiga musim berturut iaitu PRU11, PRU12 dan PRU13, kedua-dua parti dilihat mempunyai peluang seimbang bagi memenangi satu kerusi Parlimen dan tiga kerusi Dun pada PRU13.

Jika dilihat kepada sejarah, Pas dilihat mempunyai kekuatan kerana Kerajaan Negeri berjaya memerintah Kelantan selama 21 tahun, bagaimanapun harus diingat bantuan dan sumbangan yang banyak diberikan kerajaan Barisan Nasional sejak akhir-akhir ini sedikit sebanyak boleh menggugat pengikut parti Pas khususnya pengundi atas pagar.

Pada PRU11, 2004, BN melalui dua calonnya membuat kejutan apabila masing-masing menang pada kerusi Dun Gual Periok, N015 menerusi Datuk Shaari Mat Hussain dan DUN Bukit Tuku, Mohd Zain Ismail.

Apa yang pasti, kemenangan BN untuk dua kerusi Dun akan cuba diulangi pada PRU13 nanti seterusnya merampas kembali Kelantan dari Pas.

Bagi mereka yang ingin mencongak awal siapa pemenangnya, banyak faktor perlu diambil kira kedua-dua parti termasuk pemilihan calon yang betul atau lebih tepat calon boleh menang, isu semasa dan kalau ada, pergolakan dalaman parti.

Dari segi undi pula, selain mengharapkan pengundi tetap dalam kalangan ahli dan penyokong masing-masing terus konsisten, pengundi luar terutamanya pengundi muda terus dilihat antara faktor penentu kemenangan calon tanpa mengira parti.

Pastinya paling utama, calon dipilih bukan sahaja perlu ada sokongan pemimpin dan ahli parti tetapi juga menepati kehendak pengundi yang sudah tentu mengharapkan wakil rakyat pilihan mereka mampu beri khidmat terbaik dan benar-benar layak bergelar ‘juara’.