SHAH ALAM – Barisan Nasional (BN) yakin dapat menawan semula Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tetapi tidak mahu selesa dengan pandangan dan laporan positi dilontarkan pelbagai pihak sejak kebelakangan ini.
“Insya-ALLAH. Memang itu yang sedang kita usahakan," kata Timbalan Pengerusi Umno Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir.
Dengan merujuk kepada persaingan Sukan Olimpik, Mukhriz yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, "kita sekarang pun dalam musim Olimpik dalam larian maraton ini, walaupun kita memecut 80 peratus daripada perjalanan itu, kadang-kadang 20 peratus yang terakhir itu penentunya."
"Kalau kita tak cukup kudrat, kita silap-silap belum sampai garis penamat dah tersungkur,” kata beliau ketika ditemui pada majlis Puisi Ramadan anjuran Kumpulan Media Karangkraf di sini, semalam.
Mukhriz menambah, beliau rasa seronok apabila mendengar pandangan pelbagai pihak yang positif terhadap BN di Kedah.
"Tetapi saya tidak mahu kenyataan-kenyataan itu akan melarikan perhatian kita pada matlamat sebenar kita iaitu untuk menawan negeri Kedah,” katanya.
Sebelum ini, Pengerusi Pusat Kajian Sosial, Pembangunan dan Persekitaran Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Fuad Mohd. Jali membentangkan kajiannya bertajuk Prestasi dan Potensi BN di Empat Negeri: Siapa Jadi Pilihan? bulan lalu.
Menurutnya, pengundi di Selangor lebih memihak kepada BN manakala sokongan pengundi di Kedah terbahagi sama rata antara BN dan pembangkang.
“Secara keseluruhannya, sebanyak 69.6 peratus responden menyatakan BN akan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 dengan 37.5 peratus yakin BN akan memperoleh majoriti dua pertiga dan 32.1 peratus berpandangan BN mendapat majoriti mudah,” ujarnya.
Katanya lagi, di peringkat Parlimen, 57 peratus responden menyatakan akan memilih BN dan 54.1 peratus responden memilih BN di peringkat DUN.
BN telah tewas kepada pembangkang empat tahun lalu dengan hanya memenangi empat daripada 15 kerusi Parlimen dan 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) manakala pembangkang memenangi 11 kerusi Parlimen serta 22 kerusi Dun.
Mukhriz: BN yakin tawan Kedah, tapi tidak mahu selesa
Tarikh: August 8, 2012
Artikel Berkaitan
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.