SHAH ALAM - Pemuda Pas membidas kenyataan Ketua Pemuda MIC, T Mohan kerana cuba memutarbelitkan kenyataan Naib Presidennya Salahuddin Ayub ketika Debat Sinar Harian Selasa lalu kononnya telah menghina kaum India.

Naib Ketuanya, Dr Raja Ahmad Al Hiss berkata, Mohan mempertikaikan Salahuddin kerana sudah ketandusan idea bagi meraih sokongan dan simpati kaum India.

“Mungkin kerana sokongan rakyat khususnya warga India terhadap MIC semakin berkurangan menjadikan beliau resah hingga beliau terpaksa mencari isu remeh untuk dijaja kepada rakyat bagi meraih simpati terhadap MIC," kata beliau.

Katanya, semua yang mengikuti debat itu memahami perkara tersebut bukan untuk mempersendakan agama Hindu.

"Salahuddin telah memberi contoh Thaipusam merupakan perarakan aman, teratur dan lancar yang dibuat setiap tahun tanpa ada sebarang provokasi.

"Bagaimana mesej yang jelas dan mudah ini gagal difahami dengan baik oleh Mohan sehingga memberikan tafsiran yang negatif kepada Salahuddin?” katanya dalam satu kenyataan media.

Selain itu, Pemuda Pas turut meminta Mohan berfikiran matang dan mempunyai wawasan jauh ke depan untuk melihat sama ada nasib bangsanya mampu dibela di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN).

Raja Ahmad berkata, jika mentaliti T Mohan sebegini, Pemuda Pas berpendapat bahawa beliau tidak dapat memimpin MIC lebih lama kerana pemikirannya disifatkan sebagai sempit dan hanya menjurus kepada persoalan remeh.