TANJONG KARANG - Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu menyatakan kemenangan Pakatan Rakyat (PR) di beberapa kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) berjaya menambah bilangan Ahli Parlimen Melayu/Islam di Dewan Rakyat berbanding jika kerusi itu dimenangi Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, ini suatu bukti nyata kemampuan PR untuk menambah suara orang Melayu/Islam di Parlimen berbanding BN.

"Ramai orang tidak sedar perkara ini kerana terpengaruh dengan propaganda Umno kononnya hanya parti itu yang memperjuangkan Melayu dan agama Islam. Kita (PR) tak bagi propaganda kosong tetapi kita bagi bukti.

Apabila Dr Siti Mariah Mahmud (Pas) menang di Kota Raja, siapa yang dia kalahkan? SA Vigneswaran daripada BN.

Apabila Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad (PKR) menang di Hulu Selangor, siapa yang dia kalahkan? (Datuk) G Palanivel daripada BN. Apabila Fuziah Salleh (PKR) menang di Parlimen Kuantan, siapa yang dia kalahkan? (Datuk) Fu Ah Kiow daripada BN."

Bagaimanapun kata Mat Sabu, apabila BN menewaskan PR pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen Hulu Selangor menerusi P Kamalanathan yang mengalahkan Datuk Zaid Ibrahim (PKR), bilangan Ahli Parlimen Melayu/Islam di Dewan Rakyat berkurangan.

“Parti mana yang menyebabkan suara Melayu semakin terhakis di Parlimen? Ini menunjukkan Umno hanya menggunakan isu Melayu sebagai propaganda untuk menarik sokongan, bukan untuk membela orang Melayu seperti apa yang mereka uar-uarkan.

"Ini kerana mereka hanya bercakap tetapi tidak buat sedangkan PR buat dan ada bukti," katanya.

Mat Sabu berkata, apa yang berlaku di Kelantan yang 97 peratus penduduknya orang Melayu, ditindas dengan bermacam-macam cara hanya kerana negeri itu diperintah oleh Pas.

"Kalau betul nak bela Melayu, kena bantulah, bukan ditindas sejak sekian lama," katanya dalam ceramah bertajuk 'Selamatkan Malaysia”' anjuran Dewan Pemuda Pas Kawasan Tanjong Karang di sini, semalam.

Mat Sabu turut menyentuh isu royalti minyak yang sepatutnya diterima oleh rakyat Kelantan tidak diberi sebagaimana perjanjian yang pernah dibuat, malah hasil minyak tersebut didaratkan di Songkhla, Thailand.

"Inikah yang dikatakan hendak membela nasib Melayu? Rakyat harus bersama Pas dan PR menumbangkan BN dalam PRU akan datang terutamanya di Parlimen Tanjong Karang untuk bantu kemenangan di Putrajaya,” katanya.