Politik
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad

Mahathir: Enggan saman WSJ bukti Anwar pro-Israel

SHAH ALAM - Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sememangnya menyokong Israel berikutan pendiriannya tidak mahu mengambil apa-apa tindakah undang-undang ke atas akhbar Wall Street Journal.

Sehubungan itu, beliau berkata, kenyataan Anwar yang mengatakan Malaysia membenarkan kapal dagangan Israel berlabuh di Pelabuhan Klang adalah cubaan untuk mempertahankan dirinya.

"Anwar tidak saman Wall Street Journal sebab dia memang menyokong Israel. Dia cuba pertahankan diri dia dengan kata kenapa kerajaan Malaysia benarkan kapal Israel masuk pelabuhan," kata beliau.

Dr Mahathir yang menyandang jawatan Perdana Menteri selama 22 tahun memberitahu kerajaan tidak boleh menyekat mana-mana kapal perdagangan sebab ia melanggar undang-undang antarabangsa.

"Tetapi, kalau kita nak sekat mereka (kapal dagangan) daripada masuk ke sini, itu melanggar undang-undang antarabangsa," kata beliau pada sidang media selepas memberi syarahan perdana di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.

Anwar, yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat, melahirkan pendirian tidak ada keperluan untuk menyaman Wall Street Journal.

Pendirian itu dinyatakan selepas mengadakan pertemuan dengan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berhubung kenyataan kontroversi berkenaan kedudukan Israel dalam satu temu bual dengan Wall Street Journal, bulan lalu.

Anwar berkata, laporan yang dikeluarkan media antarabangsa itu adalah tepat seperti mana yang beliau maksudkan.

Dalam pada itu, Mahathir berkata, Israel tidak wajar untuk disokong berikutan ia merupakan negara hasil rampasan wilayah Palestin.

Tambahnya, walaupun dunia mengiktiraf Israel, tetapi dengan tindakan ganas dan membelakangkan undang-undang antarabangsa yang dilakukan, ia tidak wajar mendapat pengiktirafan.

"Inikah manusia yang patut kita jaga keselamatannya? Memang patut kita menjaga dan tidak menyerang orang lain tetapi bukan dengan menjaga keselamatan Israel. Di Israel beribu rakyat Palestin ditahan.

"Rejim ini cukup zalim. Jika Amerika Syarikat mencadangkan regim mana yang patut ditukar, itu (Israel) yang perlu ditukar dahulu," katanya.


Syarat & Penafian | Pengiklanan | Hubungi Kami
Resolusi terbaik pada 1024 x 768
©2012 | Hakcipta Terpelihara Grup Digital Karangkraf