PEMIMPIN kanan Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Putrajaya optimis boleh mencapai misi itu.

Tidak sedikit pun gentar dengan kehadiran calon terkenal dari Pas, Tengku Adnan atau lebih dikenali dengan panggilan Ku Nan berkata, beliau yakin pengundinya di Putrajaya akan membuat keputusan yang tepat dan bijak.

Ikuti wawancara SINAR HARIAN ONLINE bersama Ku Nan baru-baru ini.

SINAR HARIAN ONLINE: Memandangkan Datuk Seri Najib Tun Razak begitu yakin dengan Datuk Seri untuk terus mempertahankan kerusi Parlimen Putrajaya, jadi apakah kriteria yang perlu ada oleh setiap pemimpin untuk terus kekal sebagai calon?

TENGKU ADNAN: Saya telah mewakili Parlimen Putrajaya selama dua penggal. Ia baru sejak 2004. Mungkin kriteria yang diambil kira disebabkan saya sebagai wakil rakyat ialah prestasi saya untuk menyelesaikan masalah rakyat.

Sebenarnya saya juga seperti adik0beradik dengan warga Putrajaya, kami melakukan sesuatu perkara termasuk bersuka ria, berseloka dan pelbagai perkara lain bersama.

Kami saling mengenali hati budi antara satu sama lain dengan begitu mendalam.
Banyak masalah saya telah selesaikan, pada tahun 2004 mereka minta untuk adakan sekolah agama rakyat termasuk menengah dan rendah. Kita telah cuba untuk selesaikannya dan sedang berfikir untuk membesarkan lagi sekolah tersebut memandangkan maklum balas begitu baik.

Bagi sekolah menengah agama rakyat kita telah mendapat kelulusan pada tahun lepas, bulan Mac. Sekolah telah bermula, kita pinjam sekolah-sekolah, yang kementerian bagi pinjam di Presint 11, kita juga telah mendapatkan sekolah agama di Putrajaya.

Banyak lagi masalah yang saya telah selesesaikan seperti keputusan untuk meminjam sekolah lain bagi sekolah agama tersebut. Selain itu, isu tempat letak kereta yang dirangka unit rumah yang pertama dibangunkan di mana satu setengah unit bersamaan dua kereta dan perhitungan mereka ternyata silap.

Sekarang ini kita sedang mencari kaedah-kaedah untuk selesaikan perkara tersebut. Bagaimanapun untuk permohonan perumahan baru kita telah sediakan tempat letak kereta berbumbung dan juga tempat letak motosikal berbumbung.

Jadi telah banyak masalah yang telah saya selesaikan seperti masalah tempat letak kereta. Namun yang menjadi masalah sekarang ini di Presint 9, di mana merupakan perumahan yang pertama dibangunkan. Unit-unit tempat kereta ini, ia kira purata satu setengah unit dua kereta, sebenarnya perkiraan mereka silap. Jadi kita tengah cari kaedah untuk membuat tempat letak kereta di sini.

Bagi permohonan yang baru kita telah selesaikan dengan Perbadanan Putrajaya dan pihak berkuasa, di mana perumahan baru ini ada 'parking' yang tertutup atau sebelah dengan rumah tersebut.

Saya telah melawat Presint 5, di mana satu unit dia bagi dua tempat letak kereta. Begitu juag denagn tempat letak motosikal, di Presint 9 saya telah selesaikan tempat letak motosikal yang berbumbung. Jadi ini maslah-masalah telah banyak saya selesaikan di Putrajaya dan hanya ada sedikit masalah-masalh remeh yang perlu diselesaikan. Contohnya Nadi Putra di Putrajaya.

Kita juga telah memohon kepada perdana menteri untuk menyelesaikan isu monorel kerana tempat hentiannya telah ada, tetapi ‘railnya’ dan juga gerabak sahaja belum ada. Ini kita telah mohon kepada Perdana Menteri untuk mempertimbangkan. Saya berkeyakinan jika negara mempunyai sumber kewangan, perkara ini dapat diselesaikan.

Saya juga mengamalkan pemberian hadiah hari lahir kepada penduduk Putrajaya semenjak 2008, sudah enama tahun. Selain itu saya juga telah menyediakan pengurusan jenazah secara percuma.

Apabila kita ada anak dan menantu, ibu mertua, atau ibu atau bapa kandungan yang duduk dengan mereka apabila berlaku kematian untuk hantar balik ke seluruh negara kerana van Perbadanan Putrajaya tidak membenarkan menggunakan kenderaan itu keluar dari kawasan itu. Jadi kita sediakan van ini secara percuma. Pengurusan jenazah termasuk pemberian kain kafan secara percuma sejak lebih tujuh tahun lalu sehingga hari ini.

Saya juga telah memberi kad kesihatan percuma kepada penduduk Putrajaya yang berumur 50 tahun dan ke atas yang membolehkan mereka melakukan pemeriksaan kesihatan di klinik-klinik swasta secara percuma yang saya biayai sendiri.

Masalah kucing liar juga saya telah selesaikan dengan membuka satu pusat jagaan kucing yang saya bekerjasama dengan Perbadanan Putrajaya. Sesiapa yang mahukan kucing tersebut boleh datang mengambilnya.

Saya juga telah memberi penghargaan kepada pelajar yang cemerlang dengan pemberian sijil simpanan premium BSN yang saya lakukan bersama Biro Pendidikan Bahagian.

SINAR HARIAN ONLINE: Sepanjang menjadi Ahli Parlimen Putrajaya semenjak 2004, apakah cabaran yang Datuk Seri hadapi sepanjang tempoh itu 2004 hingga hari ini?

TENGKU ADNAN: Orang kata Putrajaya ini mudah, tapi sebenarnya Putrajaya perlu mementingkan pengisian termasuk pendidikan, hubungan silaturahim dan sebagainya.

Kebanyakkan orang yang tinggal di sini berasal daripada seluruh pelusuk negara seperti Felda. Semuanya mempunyai sikap yanag berbeza ini cabaran yang saya terpaksa hadapi. Namun saya telah menggunakan pendekatan dengan mewujudkan aktiviti riadah seperti bersukan untuk mengeratkan antara satu sama lain.

Kita juga ada program sentuhan kasih seperti ‘family day’ jadi mereka boleh mengetahui siapa jiran mereka. Setakat ini memang berkesan untuk mengeratkan silaturrahim. Kita berkonsepkan Islam yang perlu ada hubungan silaturahim dan mengenali jiran. Dari segi pentadbiran di Putrajaya tak ada.

SINAR HARIAN ONLINE: Apakah pembaharuan dan perubahan yang dibawa oleh Datuk Seri di Putrajaya sepanjang menjadi wakil rakyat di sana?

TENGKU ADNAN: Pertama sekali saya ingin memberitahu warga Putrajaya, mereka perlu berhati-hati kerana apa yang ada pada hari ini, apa yang dibangunkan senang untuk dimusnahkan tapi sukar untuk dibangunkan.

Saya menggunakan satu tema sejak tiga tahun lalu dengan ‘We love Putrajaya’ dan berharap warga ini menjadi contoh yang baik kepada rakyat.

SINAR HARIAN ONLINE: Mengikut pengalaman Datuk Seri, apakah yang sebenarnya rakyat mahukan daripada pemimpin BN terutamanya Datuk Seri sendiri? Jadi adakah Datuk telah berjaya laksanakan dan memenuhi kehendak rakyat?

TENGKU ADNAN: Kebanyakkan masalah yang dibangkitkan oleh rakyat hanya berkaitan masalah remeh. Namun masalah-masalah lain seperti kena saman, lampu isyarat yang banyak dan pelaksanaan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

SINAR HARIAN ONLINE: Pada kali ini, Datuk Husam Musa yang juga Naib Presiden Pas telah cuba untuk memecah tembok BN di Putrajaya, jadi bagaimana 'feeling' Datuk seri berhadapan dengan pemimpin kuat Pas ini?

TENGKU ADNAN: Saya tidak gentar, seperti mana seorang pegawai penjawat awam telah bertanding dengan saya pada pilihan raya umum 2004, dia hilang wang pertaruhan.

Mungkin juga jika warga Putrajaya sayang kepada saya, Husam juga akan hilang wang pertaruhan. Namun pada 2008 kita tidak menang dua pertiga majoriti kerana masa itu berlaku tsunami berat. Di mana saya sendiri telah mengalami hakisan lebih daripada 15 peratus.

Saya yakin kepada pengundi saya, saya tahu mereka, saya kenal mereka. Saya tak percaya, ada orang cakap penjawat awam ini macam-macam ceritalah. Apa yang saya takut emosi dipermainkan, itu sahaja saya takut, perkara yang lain saya tidak takut. Apabila orang yang beremosi, dia boleh tuduh kita pukul dia, dia boleh kita macam-macam, dia tuduh kita curi barang dia. Ini emosi, kita manusia lumrah ada emosi.

Kalau kita jerkah dia, dia kata kita pukul. Apa yang saya takut adalah masalah seperti makanan yang kita makan, berucap tadi, mungkin dunia ini sudah akhir zaman.

Satu lagi adalah masalah hati, kita kalau sakit hati, iri hati, busuk hati masih boleh berubat tetapi bila kita angkuh hati, ini tidak boleh berubat. Ini saya takut sekali. Manusia ini ada ‘human problem’.

SINAR HARIAN ONLINE: Apakah yang menyebabkan Datuk Seri begitu yakin dengan sokongan yang diberikan oleh rakyat?

TENGKU ADNAN: Apa yang menyebabkan saya yakin rakyat bersama saya dengan reaksi yang ditunjukkan oleh mereka yang bersama dalam dalam setiap program yang saya anjurkan. Semalam dekat rumah saya pun ramai, saya pun tak pasti jika program yang dianjurkan oleh saya itu makanan cukup atau tidak.

Apa yang saya lakukan semuanya berjalan dengan lancar, namun jika mereka ada masalah mereka datang berjumpa dan bercerita dengan saya.

Semua ini menyeronokkan, dengan kawan-kawan saya. Semua cerita saya tahu, kadang-kadang masalah rumah tangga pun saya tahu. Jadi ini yang kadangkala membuatkan ia sebagai cabaran. Apabila kita dalam politik, kita perlu ingat satu, yang penting jangan kita buat politik sebagai kerjaya. Yang kedua kita kena berpendirian berpegang kepada qada dan qadar, apa nak jadi jadilah.

Saya pun tak sangka saya akan terus bertanding untuk mempertahankan di Putrajaya. Kadangkala kamu rasa penat, tapi semasa saya sebagai ahli perniagaan dulu pun saya tak sangka akan jadi timbalan menteri, pegang jawatan dalam parti, pada 2004 saya kena buang jadi menteri, lepas itu jadi balik menteri, tapi saya tak lari.

Pada 2008, saya tidak balik jadi menteri suruh jaga balik Umno, saya tak kisah, saya tak lari. Ini semua perjalanan kehidupan, semua telah tertulis. Apa yang penting saya percaya bahawa parti yang saya dukung tidak akan memesongkan akidah umat Islam.

Parti yang saya dukung ini akan bawa kita ke hadapan, dengan kebaikan untuk masyarakat dalam negara kita tanpa mengira bangsa dan agama. Apa yang kita dapat lihat hari ini, Malaysia menjadi sebuah negara yang unik kerana, ‘unity dan diversity’ dalam semua aspek. Dalam bilik ini pun banyak kaum. Kita Melayu pun ada juga jenisnya.
Ini yang kadangkala kita lupa, jadi ini yang kita patut ingatkan.

Saya juga minta mata pelajaran Sejarah diwajibkan balik oleh Kementerian Pendidikan di mana sekarang Sejarah telah diwajibkan semula. Hal ini kerana Sejarah akan memberitahu ke mana kita, siapa kita. Sejarah ini yang membuatkan kita lebih berhati-hati. Bagaimana saya dahulu, saya telah bernikah kemudian saya bercerai menjadi duda. Sebelum saya nak menikah lagi satu, saya berhati-hati. Ini pengajaran, sejarah itu akan memandu manusia untuk menjadi lebih baik.

SINAR HARIAN ONLINE: Ada pihak yang mendakwa kakitangan kerajaan di Putrajaya berasal dari Kelantan yang sinonim dengan Pas, jadi bagaimana Datuk Seri akan memastikan golongan ini akan terus setia kepada Umno dan BN sehingga 5 Mei nanti?

TENGKU ADNAN: Tak ada, mana ada orang Kelantan sinonim dengan Pas. Saya dahulu bekerja di Kelantan selama enam bulan di sana semuanya tidak ada masalah. Jangan mengangggap orang Kelantan seperti itu. Saya ada pengundi Kelantan 1,246, saya kenal mereka. Saya percaya orang Kelantan lebih kenal Husam daripada saya, tadi waktu, pengundi datang jumpa saya sudah luahkan masalah mengenai Husam.

Manusia tidak kira, jangan kita mabil daerah sangat, kita ini orang Malaysia. Saya baik dengan semua orang, saya pernah dapat penghargaan daripada Kelantan. Saya pun suka makan colek dan akok. Jadi tidak ada masalah yang akan timbul dengan orang Kelantan semua sama.
 
SINAR HARIAN ONLINE: Pada 15 April lalu, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan ramai muka baru, di mana kawasan Parlimen sebanyak 33 peratus dan 49 peratus di kawasan Dun, jadi adakah langkah ini dirasakan mampu menawan kembali negeri-negeri yang kalah pada PRU 2008? Kenapa Datuk Seri berkata demikian?

TENGKU ADNAN: Ia begini, saya sendiri berasal daripada Pemuda, seperti saya sebutkan tadi, maka ia nak jadi, maka jadilah. Kerja Tuhan kita tak tahu, apa yang kita tak boleh buat, Tuhan sahaja yang mampu lakukan, seperti Anwar Ibrahim, kerja Tuhan dia nak buat, itu yang dia tidak dapat menjadi Perdana Menteri.  

Saya dulu pun daripada kilang Pemuda. Saya menjadi Pemuda tahun 1969. Saya tak ada niat nak ada jawatan dalam kerajaan, saya pada itu Ketua Pemuda Bahagian Seputeh. Saya pun tak pandai nak bertanding.

Sudah 20 tau 30  tahun, saya dapat jawatan dalam kerajaan pun saya tidak mahu, tetapi telah tertulis. Saya dapat jawatan dalam parti semasa umur saya 39 tahun. Tapi apabila saya dapat itu semua kerana ALLAH.

Seperti yang saya beritahu tadi, jangan anggap politik sebagai kerjaya. Kita lihat calon muka baru yang diumumkan oleh Datuk Seri Najib lebih 30 peratus dan Dun pula hampir 50 peratus, ini yang akan jadi ‘loncat-loncat’ kerananya banyak calon muka baru. Dahulu semua ahli Umno masa Perhimpunan Agung Umno semua berjanji buat aku janji.
 
SINAR HARIAN ONLINE: Selepas senarai calon diumumkan, kita lihat banyak media melaporkan calon daripada BN khususnya Umno tidak berpuas hati, jadi sejauh mana Datuk Seri melihat perkara ini berlaku?

TENGKU ADNAN: Jika berlaku sabotaj kita akan ambil tindakan. Kita semua ini manusia yang mempunyai hati, rambut sama hitam, hati lain-lain. Pinggang mangkuk pun berbunyi, suami isteri sudah bertengkar.

SINAR HARIAN ONLINE: Adakah BN-Umno sendiri telah kenal pasti ahli yang akan sabotaj ini?

TENGKU ADANAN: Memang akan berlaku, tapi kita nak kena bendung. Kita juga ada pemerhati, kita juga telah kenal pasti dan mendapat maklumat. Namun tidak begitu banyak.

SINAR HARIAN ONLINE: Adakah dengan sabotaj ini, menunjukkan BN-Umno terlalu lemah, apabila tidak tercalon akan sabotaj parti?

TENGKU ADNAN: Alpa. Kealpaan. Seperti saya katakan tadi kalau kita masuk politik kita jangan fikir untuk kerjaya. Bila kita nak jadi wakil rakyat, seperti yang Datuk Seri
Najib katakan kita kena tanam semangat ‘Aku Janji’ itu. Kita kena jadi ‘hamba’kepada rakyat bukan nak berkuasa. Jangan nak buat rakyat hamba kepada kita.
Kalau kita anggap politik sebagai kerjaya kita akan kecewa kalau tak mencapai matlamat.

Perkara ini juga berlaku sebab kurangnya pengetahuan di dalam politik. Politik negara kita belum matang lagi. Kita perlukan kematangan. Kita tak boleh ada dua sistem parti seperti yang diinginkan oleh pembangkang. Mereka sendiri kucar-kacir, masih banyak masalah tak dapat diselesaikan.