PUTRAJAYA - Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan pertemuan hampir enam jam dengan pemimpin-pemimpin komponen Barisan Nasional (BN) dipercayai berhubung senarai calon perikatan yang akan diturunkan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Sinar Harian Online difahamkan turut menghadiri pertemuan hari ini ialah Pengerusi BN negeri, yang terdiri daripada menteri besar dan ketua menteri.

Pertemuan hari ini sepatutnya diadakan 7 Mac lalu tetapi ditangguhkan ke hari ini.

Mengikut sumber, perjumpaan itu telah bermula sekitar jam 12.30 tengah hari tadi dan berakhir enam jam kemudian.

Sinar Harian Online dan beberapa media yang menunggu di pintu masuk utama Kompleks Pejabat Perdana Menteri mendapati kereta beberapa menteri besar dan ketua menteri keluar sekitar jam 6 petang iaitu Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam.

Sinar Harian Online yang menghubungi Setiausaha Agung MIC, Datuk S. Murugessan  mengesahkan Presidennya, Datuk Seri G Palanivel ada berjumpa dengan Perdana Menteri hari ini di sini.

Namun beliau tidak dapat mengesahkan apa tujuan perjumpaan itu.

"Ya memang mereka ada berjumpa hari ini, tapi apa tujuannya saya tidak boleh bagitahu," katanya.

Difahamkan pertemuan hari ini diadakan dalam dua peringkat iaitu antara Najib, selaku Pengerusi BN dan Perdana Menteri dengan kesemua presiden komponan BN.

Ia disusuli dengan pertemuan bersama pengerusi-pengerusi BN negeri.

BN terdiri daripada 13 parti komponen iaitu Umno, MCA, MIC, Gerakan, PPP, PBB, SUPP, PBS, LDP, PBRS, UPKO, SPDP dan PRS.

BN akan meletakkan calon di kesemua 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) yang dipertandingkan kali ini.

Pertemuan hari ini sekali lagi bakal menggegar arena politik negara - sama ada pembubaran Parlimen akan bakal berlaku dalam masa yang 'sangat' dekat memandangkan Najib sehingga kini masih mahu berahsia berhubung tarikh itu.

Spekulasi semalam tersebar susulan pengumuman beberapa insentif sistem saraan perkhidmatan awam - Sistem Saraan Transformatif.

Selasa depan, Najib akan mengumumkan kad prestasi kerajaan dan disusuli dengan laporan tahunan Bank Negara.

Esok Najib akan mengadakan lawatan kerja ke Kelantan dan disusuli satu pertemuan di kawasannya iaitu Pekan Sabtu ini.

Bagaimanapun penganalisis dan pemerhati meletakkan 20 Mac iaitu Rabu depan sebagai pembubaran susulan perkembangan semasa dan juga pembubaran secara automatik Dun Negeri Sembilan (26 Mac), Pahang (7 April), Johor (21 April), Selangor (22 April), Perak (24 April), Melaka (26 April), Perlis (28 April), Kelantan (28 April), Sabah (29 april) dan Pulau Pinang (2 Mei) dam Kedah (2 Mei).

Mandat kerajaan pusat pula akan berakhir 28 April.

Kelmarin, ketika muncul di TV3, Najib berkata, kerajaan mahu memastikan transformasi yang dilakukan termasuk dari sudut ekonomi difahami dan dirasai kesannya oleh rakyat sebelum memanggil PRU13.

Sehubungan itu, Najib menaruh sepenuh harapan agar rakyat dapat memberi mandat penuh kepada BN pada PRU13 ini bagi membolehkan kerajaan sedia ada meneruskan dasar-dasar yang telah dibawa termasuk pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) secara berkala.

Malah Najib memberitahu bahawa proses pemilihan calon BN untuk PRU13 juga belum selesai sepenuhnya.

"Hampir siap, tetapi setiap kali kita tengok, saya kira sampai kita umum nanti akan ada perubahan," kata beliau.

Najib turut menyatakan keyakinannya terhadap sokongan rakyat yang diterima sejak bergelar perdana menteri pada 2009 berdasarkan 'track record' yang baik termasuk ketika ekonomi global sedang merudum.