BANDAR BAHARU - Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan PRK tidak akan berlaku di Parlimen Pandan seperti jangkaan Pas Selangor.

Menurutnya, parlimen berkenaan juga bukan kerusi yang bakal diberikan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti yang didakwa parti pembangkang itu.

“PRK tidak akan berlaku di Pandan. Saya ucapkan tahniah kepada Pas kerana membuat persiapan awal, untuk bekerja di Parlimen Pandan boleh tapi masuk bertanding pada PRU15 nantilah.

“Bagaimanapun, saya hormati usaha Pas yang bersiap sedia menawan Pandan mulai sekarang,” katanya ketika menjawab kemungkinan PRK bakal berlaku di Parlimen Pandan selepas Pas Selangor membuat persediaan jentera di situ.

Saifuddin berkata, pengumuman hanya akan dibuat di Ibu Pejabat PKR di Ara Damansara, esok.

“Apa pun saya umumkan esok. Saya dan Ahli Parlimen berkenaan akan muncul. Semua persiapan adalah mengikut jadual,” katanya.

Semalam, Pas melalui Naib Presidennya, Datuk Iskandar Abdul Samad mengesahkan ramalan dan khabar angin kemungkinan penyandang kerusi Parlimen Pandan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan mengosongkan kerusinya untuk memberi laluan kepada suaminya, Anwar.

Susulan itu, Pas meminta jentera di Parlimen Pandan bersiap sedia bagi menghadapi kemungkinan PRK di kawasan itu.