KOTA BHARU - Barisan Nasional (BN) Kelantan akan menampilkan tokoh ulama serta calon yang mantap untuk Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pemilihan calon sudah di peringkat akhir dan ia akan menampilkan muka lama dan baru.

“Kami mahu setiap calon yang dipilih diterima dan disukai rakyat supaya membawa kemenangan kepada BN di negeri ini,” katanya.

Sebelum itu, beliau meluangkan masa lebih sejam melawat kawasan Karnival Pengajian Tinggi Negara 2013 di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV.

Menurutnya, BN akan berusaha sungguh-sungguh dan meletakkan calon terbaik, walaupun sedar bahawa sesiapa pun diletakkan sebagai calon, mungkin ada yang akan mempertikaikannya.

Mustapa berkata, bagi beliau dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, mereka yang terpilih adalah  barisan terbaik yang dipilih di kalangan tokoh di Kelantan.

Sementara itu, mengulas mengenai pertemuan beliau dengan Najib, yang juga Presiden Umno dan Pengerusi BN, di Putrajaya kelmarin, Mustapa berkata, pertemuan seperti itu sudah diadakan sejak enam bulan lepas.

Menurutnya, ia bagi membincangkan perkara berkaitan parti, terutama mengenai senarai calon BN Kelantan.

Ditanya mengapa Najib belum membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU13, Mustapa berkata, beliau percaya Najib mahu hasil transformasi yang dilaksanakan, termasuk dalam bidang ekonomi, dirasai rakyat.

"Ia tiada kaitan dengan apa-apa desakan pembangkang. Ini strategi Najib dalam memastikan rakyat melihat hasil kerja, termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA),” katanya, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Mustapa tidak menolak kemungkinan banyak lagi program peletakan batu asas bagi projek tertentu dilakukan kerajaan Pas Kelantan, dan menyifatkan tindakan seperti itu 'tidak lebih daripada gimik politik' menjelang pilihan raya.