SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan hasrat parti itu menjadi sebahagian daripada parti komponen Pakatan Harapan.

Menurutnya, tidak ada sebab Bersatu tidak bersetuju dengan perjuangan Pakatan Harapan memandangkan ia berpegang kepada dasar-dasar yang termaktub di dalam Perlembagaan Negara.  

“Saya tidak ada masalah untuk menyokong reformasi.  

“Bersatu akan menjadi sebahagian daripada Pakatan Harapan dan saya berharap akan diterima untuk bersama-sama menjatuhkan kepimpinan (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Pakatan Harapan, di sini, hari ini.

Menurutnya, demi menjatuhkan kepimpinan kleptokrasi, parti-parti Pakatan Rakyat perlu mengetepikan perbezaan pendapat dan bersatu di bawah satu jenama yang kuat.  

“Kalau kita nak kalahkan BN, satu cara sahaja iaitu dengan bersatu. Kita daftar seolah-olah satu parti, kita guna satu simbol dan satu calon.  

“Tak kira DAP, Amanah atau PKR, asalkan itu calon kita. Dalam pilihan raya, kita hilangkan identiti parti dan dengan itu kita akan dapat kemenangan,” katanya.

Beliau berkata, perselisihan faham antara parti Pakatan Harapan perlu diketepikan kerana ia hanyalah perkara kecil jika dibandingkan dengan perjuangan menjatuhkan kepimpinan perdana menteri.  

“Ada yang kata tak boleh terlibat dalam Pakatan Harapan sebab ada DAP. Saya dulu paling anti DAP, tapi itu terlalu kecil berbanding usaha jatuhkan Najib.

“Saya berpendapat, sesiapa yang timbulkan masalah dalam pembangkang ini adalah penyokong Najib.

"Mereka boleh dakwa berjuang untuk Melayu tetapi dia sebenarnya sokong Najib dan berkemungkinan besar mereka terima dedak,” katanya lagi.