SEJAK  kecil beliau sering mendengar petua kesihatan orang lama - wanita lepas bersalin perlu pakai stoking dan tidak mencuci rambut, jangan minum air sejuk, keringkan rambut sebelum tidur, gunakan daun ini dan itu bila terkena cacar air untuk hentikan gatal dan pelbagai lagi.

Sebahagian petua ini membawa kepada minatnya untuk mendalami amalan tersebut dan nalurinya sentiasa ingin tahu mengapa ia disebarkan. 
 
Antara sering jadi tanda tanya di benaknya, sama ada petua itu mempunyai bukti sains dan adakah ia benar-benar membantu?
 
Tidak hairanlah, Datin Swanee YS The, 39, memilih bidang sebagai ahli farmasi. Malah kini beliau bergelar Pengurus Pemasaran (Perubatan & Terapi Alternatif), bagi syarikat produk berasaskan kesihatan, Nuvanta Sdn Bhd. 
 
Tugasnya merangkumi pengurusan beberapa jenama terapi alternatif bercirikan bahan aktif berpaten diimport daripada pelbagai negara. 
 
Atas dasar ingin tahu ditambah dengan asasnya dalam bidang perubatan, mendesaknya untuk mencari jawapan. Padanya rawatan alternatif dan perubatan Barat apabila digabungkan boleh menjadi alat ampuh untuk menguruskan pelbagai penyakit hari ini. 
 
"Profesional perubatan mungkin berfikir rawatan ubat moden termasuk membius akan bantu ubat penyakit, manakala pengamal perubatan alternatif berfikir ubat-ubatan doktor semuanya penuh dengan kesan sampingan.
 
"Namun pada pandangan saya, jika kita dapat memahami bagaimana kedua-dua rawatan ini berfungsi, kita boleh mengurangkan kesan sampingan dan memaksimumkan manfaat kesihatan dan hasil klinikal untuk pesakit. Inilah yang mendorong minat berterusan saya dalam bidang ini," katanya. 
 
Syarikatnya kini menumpukan kepada bahan aktif semula jadi dengan penyelidikan klinikal yang mempunyai manfaat rawatan diiktiraf keselamatannya. 
 
Bahan aktif digunakan termasuk Biolane untuk sakit sendi dari New Zealand, Genistein organic untuk keseimbangan hormon dan kesejahteraan kewanitaan, Lectranal® daripada negara Croatia untuk menangani masalah alahan dan sinus dan Bioeffective A® untuk gastrik dan refluks asid perut dari Australia.
 
Asalnya, anak kelahiran Klang, Selangor ini  bercita-cita menjadi doktor atau peguam. 
 
"Memandangkan kedua-dua bidang ini amat berbeza (sains dan bidang sastera), terpaksalah saya memilih. Akhirnya, saya lebih berkenan  terhadap bidang kesihatan dan perubatan. 

"Ibu bapa amat faham personaliti saya yang meminati kepelbagaian. Mereka berpendapat kerjaya doktor penuh tekanan dan menasihati saya memilih bidang kurang tekanan," katanya. 
 
Mana tumpah kuah kalau tak ke nasi, ibunya seorang jururawat dan bapanya pengurus pemasaran syarikat pembinaan. Padanlah Swanee ikut jejak mereka berdua memandangkan beliau ahli farmasi dengan pengkhususan pemasaran.

 
Mula berkembang 
 
Sejak memulakan bidang ini hampir 15 tahun lalu, banyak pengalaman berharga diperoleh anak sulung daripada tiga beradik ini. 
 
Pengalaman manisnya, sudah tentulah bila berjaya mengembangkan sayap jenama. Berjaya membantu menyembuhkan penyakit juga antara faktor mendorong Swanee terus menerokai rawatan semula ini. 
 
"Saya turut gembira bila pesakit itu sendiri begitu bersyukur ibarat diberi peluang kedua. Misalnya seorang bekas pemain hoki negara kita mempunyai masalah sendi begitu buruk, ia tentu sukar bagi seorang ahli sukan. Dengan Biolane®, hari ini dia kembali bersukan.  
 
"Ada juga kes bekas pramugari udara yang mengalami masalah ketidakseimbangan hormon menyebabkannya kurang keyakinan. Dengan Genistein organic, dia kini tidak lagi mempunyai gejala perimenopausal. Kesihatan mereka bermakna juga pada saya kerana saya tahu ada rawatan semula jadi boleh dimanfaatkan," kata ibu kepada dua cahaya mata ini.
 
Cerita pengalamannya, Swanee berkata, perasaannya sebagai seorang ahli farmasi dan pakar ubat-ubatan waktu memulakan karier, beliau menyedari penggunaan ubat sahaja tidak berupaya mengubati penyakit.
 
Beliau memberikan contoh bagi kesejahteraan wanita bermasalah ketidakseimbangan hormon, masalahnya bukan hanya boleh selesai dengan memberi pil hormon. 
 
"Sebenarnya ia berkait pemahaman dalam peringkat hidup wanita itu, apa jenis keadaan perubatan atau ubat diambilnya dan bagaimana terapi semula jadi boleh membantu," katanya. 
 
Pernah berkhidmat sebagai ahli farmasi di Hospital Royal Gwent di Newport, Wales, ahli farmasi runcit di pasar raya dan kemudian ke syarikat farmasi terkenal di negara ini, pengalaman ada padanya dikongsikan dengan pesakit. 
 
Hasilnya, pesakit wanita ditemuinya berjaya mengatasi kanser dihadapi melalui rawatan alternatif. 
 
"Itu bagi saya adalah pengesahan bahawa ada cara lain selain hanya kemoterapi untuk melawan penyakit," katanya.
 
Swanee turut bersyukur, dua anaknya juga sihat tanpa perlu mengambil antibiotik, tetapi hanya dengan rawatan semula jadi apabila mereka sakit. 

 
Beri inspirasi
 
Minatnya terhadap kumpulan wanita mendorongnya terlibat dalam pelbagai forum dalam talian. Isteri kepada peguam, Datuk Kerry Sin ini juga berkesempatan menawarkan khidmat nasihatnya sebaik mungkin. 
 
Kepakarannya digunakan untuk memberi khidmat nasihat kepada mereka memerlukan seperti mengenai cara mengoptimumkan ubat atau makanan tambahan. 
 
"Saya menjalani latihan secara teratur untuk profesional kesihatan di seluruh negara. Melalui pendidikan profesional kesihatan, saya berharap untuk memberi kesedaran kepada rawatan semula jadi ini kepada orang ramai. 
 
"Saya turut berharap melalui wawancara sebegini akan dapat memberi inspirasi kepada ibu-ibu di luar sana supaya berhubung dengan ahli farmasi di tempat anda dan bertanya kepada mereka tentang produk Nuvanta untuk kanak-kanak dan rawatan semula jadi ini," katanya.
 
Menurutnya, ramai masyarakat kini berfikir bahawa pemasaran memberitahu 'pembohongan indah' manakala profesional perubatan bercakap 'fakta dan kebenaran'. 
 
Sebagai seorang ahli farmasi-pedagang dan juga ibu, Swanee berharap merapatkan jurang ini dalam membawa pemahaman yang mudah untuk terapi semula jadi berasaskan sains menggunakan pelbagai medium komunikasi hari ini.
 
Beliau turut berpendapat mereka mahu menceburi bidang terapi kesihatan supaya perlu ada asas perubatan.
 
"Tidak mudah gabungkan kerjaya perubatan dan pemasaran kerana disiplinnya begitu berbeza. Sebagai profesional kesihatan dalam kapasiti pemasaran, saya rasa kami mampu untuk memberikan lebih daripada sekadar janji-janji indah pada orang ramai. 
 
"Dalam kapasiti ini, kita akan terus ke akar sains dan mendidik pengguna secara bertanggungjawab, disokong oleh sains dan anugerah alam semula jadi," katanya. 
 
Bekas penuntut di The Welsh School of Pharmacy di Cardiff, United Kingdom ini memberitahu, bagaimanapun kejayaannya hari ini bukanlah sekelip mata.  
 
Sebaliknya katanya, beliau mempunyai banyak kegagalan sebagai kejayaan. Namun kegagalannya tidak pernah ke tahap menjejaskan kesihatan pesakit dan pastinya tidak ada ruang untuk itu. 
 
"Ada yang mungkin tidak senang dengan kejayaan anda. Dalam semua perkara, hidup ini tidak pernah lurus ke hadapan dan selagi objektif utama dicapai, saya melihat isu-isu ini sebagai cabaran ke arah kebaikan. 
 
"Saya bersyukur mempunyai bos dan mentor iaitu Pengurus Besar kami, S L Ho yang banyak beri peluang memanfaatkan kebolehan dan menggilap bakat saya," katanya. 
 
Sebagai ibu dan isteri, pastinya dia seorang yang sibuk. Katanya, bagaimanapun dia bertuah dibantu ibu saudaranya untuk menjaga anak-anak. Namun beliau akan meluangkan masa sepenuhnya untuk keluarga pada hujung minggu. 
 
Untuk kekal bertenaga dan menjaga kecantikan diri, Swanee sendiri amalkan Genistein organic.