SEKEJAP berjalan sekejap berlari si anak kecil mengikuti langkah ibunya di kawasan padang rumput. Kanak-kanak itu memerhatikan dengan penuh minat beberapa jenis rumput yang dikutip ibunya. Walaupun nampak sama, tetapi ada yang berlainan warna.

“Ini pokok dukung anak, yang warna merah ini lebih berkhasiat daripada yang putih. Yang putih pula sesuai untuk kesihatan umum. Ini rumput jarum emas, khasiatnya…,” kata si ibu, Rukiah Mat Zain sambil menunjukkan hasil kutipan tersebut kepada anaknya.

Anak itu yang menjadi peminat tegar tumbuhan berkhasiat kini bergelar Wanita Herba apabila beliau giat mempromosikan dunia herba di negara ini. Ini terbukti apabila pemilik nama Safinah Yaakob menjadi sebutan sejak beliau sebagai Pengasas Pameran Herba Asia 2004 yang julung kali diadakan di negara ini.

Pengasas Malay Tea

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Gitex Global Exhibition Services  kini menganjurkan pameran tersebut kali ke-9 di Pusat Pameran & Konvesyen Matrade, Kuala Lumpur, 1 - 3 Oktober ini.

“Apabila kita amati setiap tumbuh-tumbuhan yang sama spesies tetapi berbeza khasiat. Jadi ilmu sesuatu pokok herba perlu ada pada pengamalnya.

“Berdasarkan pengalaman dalam bidang pengiklanan dan perhubungan awam selama 17 tahun, saya selalu diberi tanggungjawab untuk merancang strategi dan mengenal pasti isu atau perkara.

“Pada 2002, syarikat kami diamanahkan untuk mengkaji selidik masyarakat Orang Asli dari segi gaya hidup dan pemakanan. Mereka didapati mempunyai gigi yang bersih, rambut hitam dan kulit bersih serta sentiasa sihat kerana mengamalkan herba,” ujar pengamal herba ini.

Safinah menambah, hasil kajian tersebut menunjukkan terdapat banyak pokok ubatan di dalam hutan negara ini. Baginya, amalan makanan warisan dan ubatan herba adalah penting dijadikan budaya dalam sesebuah keluarga untuk dimanfaatkan khasiatnya secara alami.

Anak kelahiran Felda Gedangsa, Perak ini menerokai dunia herba secara serius selepas menemui ubatan alternatif ini, iaitu minyak kelapa dara yang mampu melegakan asma anak sulungnya, Muhammad Hadi Daniel pada 2001.

“Dari situ, saya menghasilkan produk minyak kelapa dara jenama Cocomune untuk berkongsi khasiat dengan orang ramai sejak 2004.  Produk ini juga sesuai untuk merawat masalah kulit dan kelemumur serta menjaga kesihatan secara holistik.

“Minat yang mendalam terhadap herba menyebabkan saya menanam semua jenis herba organik di ladang saya seluas 1.2 hektar. Saya juga merupakan pengasas dan pemilik syarikat Malay Tea.

“Saya mengeluarkan produk teh herba jenama Malay Tea berasaskan 17 jenis herba termasuk misai kucing dan mas cotek. Saya membuka tiga Malay Tea House di Lembah Klang  sekitar 2006 hingga 2010.

“Inilah cinta saya terhadap warisan herba yang diterjemahkan dalam budaya minum teh melayu,” ujar pemenang Anugerah Khas Generasi Peneroka Felda Cemerlang kategori Tokoh Usahawan (2005) ini.

Jadikan rujukan kekal

Safinah berkata, Pameran Herba Asia merupakan platform atau hab herba yang boleh dijadikan rujukan kalangan pengusaha, pengamal, penanam, peniaga, penggiat dan penggemar dari dalam dan luar negara.

Ini memberi peluang secara langsung untuk memasarkan produk herba lebih meluas untuk diekport dan dikongsikan khasiat di peringkat global.

“Melalui pameran ini yang diadakan secara tahun, diharapkan mampu mendedahkan banyak rahsia tumbuhan khasiat serta mengumpulkan pelbagai maklumat berkaitan herba.

“Ini secara langsung dapat meningkatkan ekonomi industri herba daripada pelbagai sudut, iaitu melindungi  hak milik yang datang dari tanah air dari segi bentuk komersial dan perolehan data.

“Seterusnya ia menyerapkan nilai gaya hidup sihat serta melindungi warisan tradisi yang menjadi identiti sesuatu bangsa atau herba itu berasal dari mana.

“Saya juga ingin mengekalkan sesuatu perubatan tradisional itu yang sepatutnya datang bersama pengamalnya seperti bomoh, bidan, pengamal perubatan alternatif dan mak adam. Golongan tersebut merupakan pekerja berpengetahuan,” ujar anak peneroka itu.

Bagi wanita berjiwa kental ini, tugasnya sebagai jururunding untuk memangkin industri herba mahu memastikan ilmu herba tersebut boleh diterjemahkan dalam bentuk bahan bacaan dan di laman siber, sebagai sumber rujukan yang kekal.

“Ia melibatkan minat mendalam, tanggungjawab dan kesetiaan terhadap warisan bangsa yang seharusnya diturunkan dan dikomersialkan secara profesional.  Jadi ia boleh disesuaikan mengikut sukatan industri farmasekutikal, kosmetik dan perubatan moden.

 “Industri herba dikatakan dapat menyumbangkan ekonomi negara sehingga berbilion ringgit. Tetapi hanya 5 peratus daripada produk tempatan. Manakala selebihnya herba yang bukan berasal dari Malaysia.

“Oleh itu, pihak kerajaan perlu membantu industri herba dari segi promosi dan bimbingan untuk memastikan rantaian bekalan tidak terlepas pandang dan ketinggalan bagi memenuhi permintaan pasaran di dalam dan luar negara,” ujarnya penuh bersemangat.