HANYA di radio
Ku rasa perhubungan cinta
Beginilah rasa mesranya
Walau tiada paras dan rupa
Hanya di radio
Aku bayangkan diri mu itu
Secantik-cantik manusia
Dan semolek-molek pekerti...

KORUS lirik lagu Hanya Di Radio oleh kumpulan Headwind ini mungkin menggambarkan fikiran kebanyakan pendengar orang kita bila bicara soal golongan juruhebah atau lebih dikenali sebagai deejay (DJ) radio.

Mungkin itu jualah tanggapan pendengar setia khususnya kepada dua DJ cantik molek, radio Selangor FM ini - Norani Muttar atau lebih dikenali sebagai 'DJ Anne Mokhtar' dan Nurul Norashikin Abu Shaari atau 'DJ Nurul Shaari aka Yuyoi'.

Pernah lebih setahun mereka diganding bersama sebelum ini dalam segmen Hayat dan Wanita di Selangor FM hingga digelar 'Double N' untuk segmen itu.

Daripada hubungan rapat terjalin di konti berfrekuensi 100.9 FM bagi Lembah Klang sejak lima tahun lalu, ia terbawa hingga di luar waktu kerja bagi dua sahabat baik ini.

Kini, masing-masing dengan segmen sendiri. Personaliti digabungkan bersama dalam Sisipan Wanita Oh Wanita (WOW) kali ini masing-masing tidak kurang pengalaman menarik dapat dikongsi bersama pembaca.   

Pada korus nyanyian Zainal Abidin ini, jika ia membayangkan pendengar tidak dapat melihat paras rupa, tapi kini sebaliknya.   

Pada zaman teknologi maklumat ini, mereka dapat terus melihat wajah deejay kesayangan. Guna aplikasi telefon pintar dan taip saja pencarian.

Malah kewujudan laman-laman sosial kini mendekatkan peminat dengan deejay. Itu jualah dilalui dua deejay gen Y ini. Kedua-duanya baharu berusia 28 tahun.  


'Jangan curang...'

Anne turut mengakui laman sosial mendekatkannya dengan peminat. Sebarang perkembangan semasa dirinya dan Selangor FM misalnya dikongsi di laman sosial seperti Facebook (FB).

Maklum balas dan komen pendengar juga sering kali diterimanya terutama melalui mesej peribadi di FB.       

Dia adalah deejay ruangan 'Hangat' dari jam 12 tengah hari hingga 3 petang setiap Isnin, Rabu, Jumaat dan Sabtu serta ruangan 'Pesona' jam 9 pagi hingga 12 tengah hari pada setiap Khamis, pelbagai kisah dikongsi bersama pendengar.

Berkongsi rahsia di sebalik celoteh cerianya di corong radio, siapa sangka menggeletar juga tubuh DJ Anne pada peringkat awal melontarkan suara di konti.

Menurut bekas penuntut Politeknik Johor Bahru ini, dia mengambil masa kira-kira setahun untuk benar-benar mendapat keyakinan semasa ke udara.

"Sebenarnya bila tahu dapat kerja dan ditempatkan di Selangor FM, memang saya tidak tahu perlu jadi deejay. Hingga masa lapor diri sebagai penyampai, saya tak mahu (jadi deejay) sebab takut. Hingga saya minta, 'boleh tak saya jadi wartawan'.

"Tapi saya tak boleh elak sebab skop tugas. Apa pun dalam masa sama, saya teruja juga sebenarnya. Belajar dengan orang lama, DJ Zainal Rahman, ketika itu saya hanya 'belajar' sebut 'Selangor FM' selama dua bulan," katanya.

Serasi dengan tagline 'Jangan curang...' sering jadi sebutannya untuk 'ditanam' di minda pendengar, bermaksud agar tidak menukar siaran radio, Anne rupanya sebenarnya berlatarbelakangkan pendidikan diploma reka bentuk grafik.

Rezeki kerja mencurah sebaik tamat belajar, dua tawaran kerja berkaitan bidangnya diterima, tetapi dia akhirnya membuat pilihan sebagai sebagai penyampai radio.

Percaya nasihat ibu adalah yang terbaik, Anne berkata, itu antara faktor dia memilih bidang ini.  

Ditanya pengalaman berharga dilaluinya, ibu kepada seorang cahaya mata, Nur Zara Ariana, berusia setahun empat bulan ini berkata, pernah dia terpaksa bertugas dalam keadaan terlalu sedih.

"Masa itu kakak saya baharu meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya, namun anak dan suaminya selamat. Bayangkan dalam tempoh seminggu cuti kemudian bertugas, memang masa itu bila terkenangkan kakak rasa sangat sedih apalagi saya memang rapat dengan arwah.

"Tetapi perasaan itu perlu dikawal semasa ke udara. Kita perlu bertugas dan berceloteh seperti biasa. Tapi bagi pendengar setia, ada juga yang perasan perubahan suara kita," kata isteri kepada kakitangan Perodua, Mohd Helmee Ismail, 32, ini.


Mungkin buka butik

Juga menggunakan medium FB untuk mendekatkan diri dengan pendengarnya, bagi DJ Nurul pula, ia dapat merapatkan hubungan dengan pendengarnya.

Tidak menafikan terdapat juga pendengar menggunakan laman sosial itu untuk memberikan komen negatif atau berbaur lucah, namun katanya ia diabaikan begitu sahaja.

"Tapi baiknya biarpun di alam maya, peminat sebenarnya secara tidak langsung dapat 'bersua muka' dengan kita. Pernah ada pendengar saya tidak langsung pernah berjumpa dengannya, tapi saya tersentuh dengan keprihatinannya yang selalu ikuti perkembangan saya.

"Dua tahun mengenalinya di alam maya, masa saya bersalin anak sebelah pagi, saya dapat tahu sebelah malamnya dia pula menghembuskan nafas terakhir. Teringat saya padanya, kerana selalunya arwah selalu PM saya di FB dengan katanya 'saya akan teman Nurul di konti' tiap kali saya bertugas," katanya, yang hiba dengan pemergian pendengar setianya yang dikenali di laman sosial itu.

Menariknya, pertemuannya dengan suami, Mohd Ellmi Khairuddin, 34, juga di FB, yang pada mulanya dia tidak tahu Ellmi juga satu bumbung tempat kerja dengannya.

Memegang segmen Idola Bilik Mandi (Karaoke) dari jam 8 hingga 9 malam setiap malam Rabu; segmen Ekspresi pada Isnin dan Jumaat, jam 3 hingga 6 petang serta segmen Mustika berkenaan isu wanita pada Selasa dan Rabu dari jam 6.15 petang hingga 6.45 petang, banyak juga pengalaman yang dikutip Nurul daripada pemanggil dan pendengar.

Penulis juga tertarik dengan penampilan Nurul -bergaya dan suka menghias wajah. Ditanya adakah penampilannya pada hari sesi foto ini dibuat sama seperti di konti, Nurul tidak menafikannya.

"Memang saya suka bermekap. Pergi ke kedai dekat rumah pun saya tidak tinggalan mekap. Mungkin disebabkan minat.

"Pada tahun pertama semasa saya memulakan tugas sebagai DJ dengan mengikat kontrak, sempat juga saya ambil kursus andaman dan mekap pada hujung minggu. Jadi memang dah biasa (mekap)," katanya.

Menurutnya, jika tidak mengikat jawatan tetap sebagai deejay seperti sekarang, kemungkinan dia akan berkecimpung dalam bidang perniagaan dengan membuka butik.

Minatnya itu, turut dikongsi sama dengan rakan baiknya, DJ Anne yang juga gemar bergaya dan berhias.