BERTEPATAN peribahasa lama ‘jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya’ sesuai digambarkan kepada pemilik syarikat Sinar Maya Enterprise yang mengusahakan spa kecantikan Maya Beauty House (MBH) sejak 2009.

Demi minat terhadap kecantikan dan kesihatan, Yaya Mohamad, 36, sanggup terbang ke Jakarta, Indonesia bagi mendalami ilmu di Lembaga Estetika Medik tiga tahun lalu.

Yaya sanggup berkorban masa dan tenaga untuk mempelajari ilmu kecantikan.

“Bukan sahaja mendapat pendidikan tambahan di Indonesia selama enam bulan, saya turut belajar silibus Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dengan mengadunkan kedua-dua ilmu ini bersama.

“Ini adalah untuk menghasilkan menu rawatan lebih baik dan ‘advance’ agar dapat diaplikasikan kepada pelanggan,” katanya.

Perniagaan yang diusahakan tujuh tahun lalu bermula secara kecil-kecilan dengan menjual produk kecantikan dan rawatan wajah dari rumah rumah.

Berkat kesungguhannya itu, Yaya berjaya membina empayar perniagaan sendiri walaupun kerap ditimpa dugaan.

“Alhamdulillah, setahun kemudian MBH berjaya melebarkan perniagaan dengan membuka premis spa kecantikan wajah dan badan di Kajang.

“Perkhidmatan kami fokus kepada aspek rawatan kecantikan wajah dengan  elemen moden dan tradisional,” katanya.

Perniagaan spa dan pusat kecantikan sering mendapat permintaan ramai terutamanya warga kota yang sentiasa sibuk dengan pelbagai urusan harian.
 

Terpaksa tutup

Dek kekurangan pengalaman dalam pengurusan dan kewangan, Yaya berhadapan ujian besar dalam hidupnya.

Biarpun sayang dengan spa pertamanya yang ditubuhkan lima tahun lalu, dia terpaksa menutup cawangan di Kajang kerana ketika itu, saya melakukan pelbagai tugasan daripada bawah hingga atas.

"Disebabkan sistem pengurusan tidak betul dan banyak perkara diuruskan seorang diri, perniagaan dibina terpaksa terkubur," katanya.

Cabaran terbesar baginya adalah mempertahankan perniagaan titik peluhnya daripada musnah akibat tersilap pencaturan.

Bukan mudah untuknya memikul tanggungjawab menguruskan spa seorang diri tanpa pengalaman secukupnya.

"Tanpa pengetahuan mengenai selok-belok perniagaan, pemasaran dan strategi, perniagaan dibina akan musnah dalam sekelip mata.

"Saya tiada pengalaman dalam kewangan untuk mengurus hal bajet dan gaji pekerja, antara faktor spa ini ditutup," katanya.

Yaya bukanlah individu berlatar belakang pengurusan perniagaan sebaliknya bekas graduan bidang kejuruteraan.

Minat mendalam terhadap dunia keusahawanan, dia menggunakan wang pampasan RM200,000 sebagai modal memulakan perniagaan kecantikan.

"Selepas gagal, saya belajar dan  membuka spa di Ampang. Saya juga lakukan penjenamaan semula kepada MBH Medispa supaya tampak lebih segar," katanya.


Sembilan cawangan seluruh negara

Kegagalan lalu menguatkan semangatnya meneruskan perniagaan sehingga berjaya membina empayar.

Dalam tempoh beberapa tahun, dia membuka sembilan cawangan spa berkonsep perubatan moden dan estetika.

Walaupun terpaksa melupakan cawangan pertamanya, dia semakin optimis membuka lebih banyak spa kecantikan dalam masa terdekat.

Antara cawangan spanya di Shah Alam, Bangi, Ampang, Permaisuri, Senawang, Melaka, Johor Bahru dan Wangsa Maju.

"Cawangan baharu di Kota Damansara dibuka selepas Aidilfitri lalu membuktikan anak Melayu mampu berjaya.

"Tidak ramai Bumiputera berani menceburi bidang ini kerana modalnya tinggi," ujarnya.

Pembukaan cawangan baharu bukan di atas niat menunjuk, sebaliknya membantu masyarakat dengan menyediakan peluang pekerjaan.

Dia kini sedang merangka projek khas bagi kaum Hawa berminat dalam dunia kecantikan dan kesihatan.

"Saya mahu golongan wanita berdikari terutama ibu tunggal mencari pendapatan secara 'home based'.

"Ramai golongan ini sukar mencari pekerjaan kerana terikat dengan tanggungjawab menjaga anak sedangkan mereka perlu menampung keluarga," katanya.

Program tersebut disertai latihan dan ilmu mengenai industri kecantikan sehingga mampu bina perniagaan sendiri.

Yaya turut mengimpikan membina cawangan di setiap negeri akan tercapai.


Guna teknologi canggih

Rawatan kecantikan MBH Medispa menggunakan teknologi moden untuk wanita dan lelaki.

Bukan sahaja mementingkan rawatan kecantikan dalaman dan luaran, Yaya mengetengahkan konsep santai.

"Rawatan berasaskan perubatan moden di bawah pemantauan profesional oleh doktor, jururawat dan konsultan kecantikan.

"Setiap rawatan mengambil masa kira-kira sejam bagi hasil memuaskan," katanya.

Yaya turut implementasi medikal dengan bantuan mesin canggih.

MBH Medispa bukan hanya memberikan rawatan muka biasa, ia menawarkan khidmat teknologi tinggi dan mesin canggih dari Jerman dan Korea.  

"Tenaga kerja adalah terlatih supaya arif dengan semua mesin bahkan kebanyakannya lulusan institusi tempatan diiktiraf.

"Kami sangat menekankan khidmat pelanggan supaya kepuasan dan permintaan pelanggan diutamakan," katanya.

Setiap kakitangan dilatih melayani pelanggan dengan pelbagai tips kecantikan.

Antara rawatan disediakan adalah Clinical Acne Treatment (jerawat), Collagen Induction Meso Facial, RF firming Meso Facial dan Oxygen Jet-Hydrting Facial.

"Rawatan sangat popular di sini adalah Stem cell Advance Anti Aging Treatment dan Collagen Induction Treatment untuk mengembalikan keremajaan wajah.


Produk buatan sendiri

Menggunakan tagline 'Being Beautiful is a Choice’, Yaya berkata MBH Medispa menekan konsep tiada paksaan ketika rawatan dijalankan.

Konsep tersebut diterapkan kerana mahu pelanggan selesa dengan pakej ditawarkan.

"Kami faham mereka datang untuk mendapatkan rawatan berkesan dan selesa ketika proses berlangsung.

"Perkhidmatan di sini bukan sahaja rawatan biasa tetapi lebih terarah kepada rawatan intensif masalah kulit serius," katanya.

Menariknya MBH Medispa menggunakan produk buatan sendiri di bawah jenama MBH Dermacare terjamin selamat, Halal dan berkesan.

Yaya berkata produk tersebut sudah diluluskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan diterima ramai pelanggan mereka.

"Kami bukan sahaja menawarkan rawatan selamat bahkan bahan rawatan juga terjamin keselamatannya.

"Kilang pengeluaran produk di Batu Pahat, Johor antara satu lagi bukti kejayaan kesungguhan syarikat untuk membantu masalah kulit wajah masyarakat," katanya.

Antara rangkaian produk-produk syarikatnya adalah MBH Facial Cleanser, MBH Derma Toner, MBH Sunscreen SPF 50++, MBH Pigmentation Cream, MBH Night Cream dan MBH Pigmentaton Cream.

Selain itu, MBH Medispa turut mengeluarkan rangkaian produk makanan tambahan di bawah jenama MBH Nutricare dan semua produk tersebut dikeluarkan syarikat Bumiputera Muslim dan mendapat kelulusan KKM dan pensijilan Halal.

"Bukan tidak yakin dengan produk di luar sana tetapi saya mahu pastikan produk digunakan berstatus Halal, organik dan tidak memudaratkan pengguna," katanya.
Terima kegagalan dengan hati terbuka

Selepas melalui liku-liku kehidupan membina empayar perniagaannya, Yaya berkata setiap individu harus kuat dan terus berusaha walaupun jatuh.

"Apa jua kita lakukan ada cabaran halangan menimpa. Jangan mudah putus asa dan terus berjuang sehingga berjaya.

"Pencapaian saya hari ini merupakan bukti tidak pernah mengalah untuk berusaha keras," katanya.

Baginya, kegagalan lalu merupakan guru terbaik untuk dia bangkit semula dan memperbaiki setiap kelompangan.

Bukan susah untuk susah dan bukan senang untuk senang namun Yaya tetap tidak mengalah biarpun diuji dengan pelbagai ujian.

"Saya pernah jatuh di awalnya sehingga sukar untuk bangun namun semangat tinggi meneruskan perniagaan dalam bidang kecantikan ini.

"Nasihat saya, jangan terlalu mengharapkan bantuan orang lain sebaliknya mengubah mentaliti ini," katanya.