MELIHAT kepada kaki comel anak pelakon Hollywood terkenal Kourtney Kardashian menyarung mini Moccasin membuat hati Nadia Bakly, 29, terpaut suka.

Tika itu, buah cinta pertama dan keduanya bersama suami, Asyraf Rosli, 29, masing-masing berusia empat dan setahun.

Nadia mahukan yang terbaik buat bayinya. Dia tahu akan kebaikan kasut bayi Moccasin, iaitu sejenis kasut bertapak lembut berasaskan material kulit yang memberikan keselesaan dan kesihatan terhadap kontur tapak kaki bayi.

Nadia menghadap komputer, menekan ligat papan kekunci bagi mencari pautan internet yang boleh menemukannya dengan penjual atau pengeluar kasut Moccasin di pasaran.

Carian Nadia berhasil apabila dia terjumpa kasut Moccasin yang sesuai untuk bayinya dari keluaran Amerika Syarikat. Namun, nota bernilai USD60 bersamaan Ringgit Malaysia 240 ketika itu membuatkan Nadia tersentak. Mahalnya!

Dari situlah terbitnya idea untuk menghasilkan kasut bayi berasaskan kulit untuk bayinya sendiri. Nadia menghubungi ibu, Norehan Khamsiah Awang yang merupakan seorang bekas guru Sains dan Matematik, sangat mahir dan meminati bidang jahitan di Negeri Sembilan.

Tujuannya, mahu belajar menjahit. Nadia membeli beberapa meter fabrik tersebut dan dengan bantuan ibu, dia memulakan misinya.

Sepasang demi sepasang Nadia hasilkan. Kasut-kasut itu dibuat khas untuk anak-anaknya dan dari semasa ke semasa, Nadia mempertingkatkan kualiti serta reka bentuk. Dia mencipta sedikit hiasan untuk kasut-kasut anak-anaknya.

Membuat kombinasi warna dan sentiasa memikirkan idea-idea terbaru untuk meningkatkan keselesaan kaki bayi. Mengagumkan, anak-anaknya langsung tidak merungut atau kompelin, malah suka memakai kasut-kasut itu.

Dari sekadar untuk pakai di kaki anak sendiri, Nadia mula memikirkan bisnes. Ilham sebegini tidak seharusnya dipandang enteng kerana kasut Moccasin bukan sahaja cantik dan eksklusif, malah selesa dan mempunyai ciri-ciri keselamatan buat si bayi. Ia lembut.

Mudah dilentur, senang dijaga dan tahan lama. Maka lahirlah Baby Moccasin by BebeBundo dari BebeBundo Creation.
 
Berhenti kerja

Bertemu empat mata dengan pengasas kasut kulit untuk bayi dari BebeBundo ini buat penulis kagum sekali. Nadia, seorang lulusan universiti luar negara.

Dia mengambil jurusan System And Control Engineering di peringkat Ijazah dari Case Western Reserve Univerasity, Ohio, Amerika Syarikat. Empat tahun di rantau orang, dia kembali ke Malaysia dan bekerja sebagai eksekutif pembangunan perniagaan di syarikat swasta di Shah Alam.

Dianugerahkan dua anak; Adam Ahmad Asyraf, 4, dan Zuleyka, 2, membuat hidup Nadia terasa lengkap. Dia selalu memikirkan sesuatu untuk masa depan keluarganya. Selama seharian di tempat kerja, anak-anak ditinggalkan di rumah kedua orang tua.

Sebelah malamnya, dia sibuk menguruskan kerja-kerja rumah yang tertinggal. Rutin harian sebegitu membuatkan Nadia penat dan runsing. Dia tidak senang berkeadaan begitu malah dia sedar, dia tidak mahu rutinnya berterusan.

Oleh sebab itulah dia dan suami sering melakukan kerja-kerja tambahan dan bisnes sampingan untuk meningkatkan ekonomi keluarga. Namun, bisnes sampingan tidak memberikan keseronokan buat Nadia. Sementelah, dia hilang fokus jika melakukan banyak perkara serentak.

“Pertama kali memasarkan BebeBundo di dalam talian, saya terkejut dengan respons diterima. Tempahan banyak pada bulan pertama. Sedangkan saya hanya menjahitnya seorang diri pada sebelah malam. Jadual saya menjadi semakin sibuk dan ada masa terpaksa tidur lewat malam untuk siapkan tempahan.

“Saya tak sangka, masyarakat kita sukakan kasut bayi daripada kulit. Mereka tahu akan kualitinya. Malah harga yang dijual BebeBundo Creation jauh lebih murah berbanding jenama antarabangsa,” katanya mesra.

Kurang empat bulan di pasaran, BebeBundo terjual lebih 200 pasang. Nadia meligatkan pemasaran. Dia dan suami mula menyertai bazar-bazar pameran untuk mengetengahkan jenama mereka.

Dalam masa sama, research and development terus dilakukannya demi menemukan reka bentuk yang lebih selesa dan menawan.

Kini, setelah hampir setahun berhenti kerja dan meneruskan pemasaran BebeBundo, Nadia boleh berbangga dengan hasil jualan yang mencecah 250 pasang, sebulan.

Jumlah tersebut meningkat setiap kali BebeBundo Creation menghasilkan reka bentuk eksklusif atau limited, pada tarikh-tarikh tertentu seperti hari merdeka dan sebagainya.

Pilihan ramai

Kasut Moccasin adalah sejenis kasut tapak rata yang biasanya hadir dalam rekaan unik dan comel. Ia diperbuat daripada kulit lembu, kambing, rusa atau burung kasawari yang pada asalnya dipakai oleh masyarakat Orang Asli di kawasan Amerika Utara terutama pemburu dan pedagang Eropah.

Kini, ia dikomersialkan dan dijual di seluruh dunia dengan pelbagai rekaan moden yang sesuai bagi setiap lapisan masyarakat. Di Malaysia, jenama BebeBundo memang tidak asing lagi bagi penggemar kasut material kulit ini.

Jika di luar negara harga kasut bayi Moccasin dijual dengan kadar RM240 ke RM300 sepasang, BebeBundo hanya bernilai RM89 dan RM99. Jauh lebih murah dan berbaloi.

Sebagai pengeluar nombor satu baby Moccasin, Nadia sentiasa mementingkan kualiti dan hubungan baik dengan pelanggannya. Kerana itu, beliau menerima setiap cadangan dan idea daripada pelanggan yang setia dengan setiap rekaannya.

“Saya terbuka menerima cadangan dan kritikan. BebeBundo Creation sentiasa mengambil kira feedback pelanggan. Dari situlah kami buat peningkatan. Alhamdulillah, kini ia menjadi jenama pilihan ramai,” kata Nadia.

Jual kualiti

Menyingkap sisi peribadinya, gadis ayu ini mengakui seorang yang meminati fesyen ketika zaman remajanya.

“Saya belajar di luar negara dan banyak terdedah dengan fesyen di sana. Saya perhatikan, warga US bukan sahaja mementingkan keterampilan tetapi mereka turut mementingkan keselamatan dalam setiap fesyen yang mereka pilih.

“Sebab itu mereka tidak kisah berbelanja lebih asalkan sihat dan cantik! Harga bukan suatu masalah jika mereka tahu kualitinya. Dan itulah yang saya terapkan dalam penghasilan rekaan BebeBundo. Saya tidak menjual kuantiti, tetapi menjual kualiti,” katanya.

Kelebihan produk kulit adalah lembut, tidak mudah koyak, tidak perlu memakai stoking dan kaki bayi boleh bernafas tanpa berpeluh. BebeBundo bertapak lembut dan sesuai untuk umur dua tahun ke bawah.

“Ada getah pada permukaan kasut. Mudah dipakai dan dibuka. Ia melekat dan mencengkam kaki dan tidak mudah untuk bayi menanggalkan sendiri kasutnya. Anak saya dah besar pakai hari-hari dan tidak kompelen. Dia rasa ringan pakai Moccasin,” sambungnya lagi.

Mengakui pada awalnya hanya mengetahui asas menjahit, Nadia berhempas pulas belajar dengan ibunya teknik-teknik menjahit fabrik kulit.

Ada masa, dia hampir putus asa namun dia cepat-cepat tersedar bahawa setiap perniagaan ada cabarannya. Dia juga perlu tahu jenis-jenis mesin jahit dan jarum yang sesuai untuk jahitan kulit.

Sentiasa belajar

Pembelajarannya dengan ibu tidak pernah berakhir meski pun kini dia dan suami telah mahir dalam jahitan kasut tersebut.

Ini kerana, Nadia sudah mempunyai kakitangan sendiri. Pada musim perayaan, permintaan meningkat dua kali ganda dan Nadia perlu melantik tukang jahit sambilan untuk membantunya. Begitu pun, kerja-kerja memotong dan menjahit tapak asas kasut masih dilakukannya sendiri bagi mengekalkan kualiti rekaan.

“Ini juga untuk mengelakkan kompelin daripada pelanggan. Saya perlu mengajar tukang jahit untuk menghasilkan rekaan yang sama seperti mana yang saya hasilkan. Itu cabaran paling besar,” katanya.

BebeBundo Creation turut menjalankan program usaha sama bagi membantu para wanita mencari pendapatan sampingan dengan menjadi tukang jahit sambilan produknya.

Terdapat pelbagai reka bentuk popular yang mendapat permintaan ramai hasil ilham Nadia sendiri antaranya: Baby Moccasin With Bow, Baby Moccasin With Tessel dan Baby Moccasin with Maryjane.

Ditanya mengenai rahsia di sebalik nama BebeBundo, Nadia memberitahu ia adalah bahasa Minangkabau yang bermaksud bayi dan bonda. Jenama tersebut terlebih dahulu digunakan ibunya dalam rekaan pakaian wanita. Kini, Nadia menghasilkannya untuk kasut kulit buat bayi.

Jenama BebeBundo hanya menggunakan fabrik kulit lembut yang diimport dari beberapa negara terutama Brazil, Venezuela dan Pakistan. Fabrik kulit lembut sesuai dipakai kanak-kanak berusia empat tahun ke bawah.

Pemakaian kasut tapak rata seperti Moccasin itu juga turut disarankan pakar pediatrik untuk kanak-kanak berusia dua tahun ke bawah terutama untuk si kecil yang mula belajar berjalan.