PORT DICKSON – Nurul Sabrina Idris, 7, yang baru belajar berpuasa, antara 38 mangsa keracunan makanan selepas menikmati makanan bersup yang dibeli di sebuah gerai bazar Ramadan di Tanjung Agas, Rabu lalu.

Ayah mangsa, Idris Ab Razak, 41, yang turut mengalami keracunan berkata, dia baru pertama kali ke bazar berkenaan untuk membeli bubur kerana isterinya kurang sihat.

“Saya ajak Nurul Sabrina kerana dia baru belajar puasa. Saya beli mi sup, bihun sup, bubur nasi dan nasi ayam. “Ketika kami berbuka, isteri dan Nurul Sabrina makan bihun sup serta bubur nasi yang turut disediakan sup. Saya makan mi sup, manakala anak bongsu pula makan nasi ayam tetapi tidak menghirup sup," katanya, semalam.

Anak cirit birit

Idris yang bekerja sebagai Pembantu Am pejabat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Panjang berkata, dia, isteri dan Nurul Sabrina mengalami sakit perut keesokan harinya tetapi tidak begitu ambil peduli.

"Bagaimanapun, pada jam 9 pagi, guru sekolah menghubungi saya memaklumkan  Nurul Sabrina yang cirit birit. “Saya yang turut cirit birit terus bawa Nurul Sabrina ke Klinik Kesihatan Pasir Panjang untuk rawatan," katanya.

Menurutnya, isteri yang turut serta mendapatkan rawatan dibenarkan pulang, sementara anak bongsu pula tidak mengalami sebarang keracunan.

“Di klinik, saya lihat ramai yang turut mengalami sakit seperti kami. Sekitar jam 6 petang, kami dibawa ke Hospital Port Dickson (HPD) dan dimasukkan ke wad,” katanya.

Hirup beberapa sudu sup

Sementara itu, seorang pelajar Kolej Uniti yang dimasukkan ke Unit Rawatan rapi (ICU) HPD, Tuan Maizatul Elmi Syed Mazlan, 18, berkata, dia hanya menghirup beberapa sudu sup yang dibeli rakannya.

“Rasa sup berkenaan seperti biasa sahaja, tidak ada rasa basi. Saya hanya mula rasa seperti demam dan sakit perut ketika bangun sahur pagi semalam (Khamis).

“Disebabkan terlalu lemah, saya beritahu warden asrama sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Pasir Panjang dan kemudian ke HPD," katanya yang mengakui serik membeli makanan di bazar atau gerai.

Seorang lagi pelajar yang dimasukkan ke ICU HPD, Kartika Idayu Tajul Arifin, 19, berkata, dia memang sering membeli makanan di gerai yang menjual sup berkenaan.

“Makanan yang dijual peniaga berkenaan sedap dan harganya berpatutan. Sebelum ini tidak pernah berlaku kejadian seumpama ini.

“Saya mula rasa sakit semasa bangun sahur pagi semalam (Khamis) tetapi tetap ke kelas seperti biasa. Namun terpaksa memaklumkan kepada warden selepas mengalami cirit birit yang serius," katanya.

Gerai diarah tutup

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ismail Taib berkata, Pejabat Kesihatan segera melakukan pemeriksaan terhadap gerai yang dipercayai menjual makanan kepada mangsa terbabit.

Menurutnya, arahan supaya pemilik gerai menghentikan operasi selama dua minggu juga dikeluarkan bagi membolehkan siasatan dilakukan dan sampel sup tersebut turut diambil untuk kajian makmal.

“Siasatan awal mendapati, tahap kebersihan gerai dan penjual terbabit baik.

"Pejabat Kesihatan juga telah melakukan pemeriksaan di rumah peniaga terbabit iaitu lokasi makanan tersebut disediakan," katanya ketika melawat mangsa di HPD, semalam.

Ismail berkata, kes seumpama itu adalah yang pertama berlaku di negeri ini sejak Ramadan tahun ini.

“Sejak hampir lima hingga enam tahun kebelakangan ini, tidak pernah berlaku kes keracunan makanan akibat pembelian di bazar Ramadan.

"Diharap peniaga atau pembekal makanan mengambil iktibar daripada kejadian ini supaya tidak berulang pada masa depan," katanya.

Tekanan darah rendah

Dalam pada itu, Pegawai Kesihatan Daerah 2, Dr Mohd Zulfa Mohamad berkata, Klinik Kesihatan Pasir Panjang menerima 38 pesakit mengadu sakit perut dan cirit birit sekitar jam 3 petang.

“Daripada jumlah itu, 33 adalah pelajar, empat orang awam dan seorang kakitangan Kolej Uniti.

"12 daripada mereka melibatkan 10 pelajar dan dua orang awam termasuk kanak- kanak. Mereka dihantar ke HPD sekitar jam 6 petang untuk rawatan . Seramai 26 pesakit dirawat sebagai pesakit luar," katanya.

Menurutnya, dua daripada 12 pesakit terbabit dimasukkan ke ICU awal pagi tadi (semalam) kerana mengalami tekanan darah rendah dan dilaporkan stabil.

"Pesakit yang mengalami keracunan makanan, jika tidak mendapat rawatan awal boleh memudaratkan sehingga membawa maut," katanya.

Kebersihan tak terjamin

Yang Dipertua MPPD, Abd Wahab Shamsuddin berkata, bazar Ramadan di Kolej Uniti itu adalah di bawah penganjuran kolej berkenaan.

“MPPD hanya membekalkan lesen namun pemeriksaan tetap dilakukan dari semasa ke semasa," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan, Datuk Dr Zailan Adnan mengesahkan menerima laporan mengenai kes keracunan makanan itu.

Menurutnya, walaupun tahap kebersihan terkawal tetapi tidak menjamin kualiti kebersihan penyediaan makanan itu sendiri.

"Kami telah menjalankan pemeriksaan awal dan mendapati kebersihan persekitaran gerai peniaga terbabit berada pada tahap 88 peratus.

“Dalam kes ini, mungkin penyediaan makanan oleh peniaga terbabit di rumahnya berada pada bawah 65 peratus,” katanya.

Dr Zailan berkata, arahan pemilik gerai menghentikan operasi selama dua minggu dikeluarkan bagi membolehkan pemeriksaan dilakukan.