“LAA... apasal bersepah sangat ni?” tegur Iman sebaik sahaja menjengah ke ruang tamu. Hanya dia bersama anak-anaknya malam ini kerana Arie bertugas.

Rayyan dan Ain turut bersamanya memandangkan Dr. Razif bertugas sebelah malam lagi. Kepenatan menguruskan kedai siang tadi masih belum hilang. Kini budak-budak itu menambahkan serabut di kepalanya.

Habis bersepah barang mainan. Malah, kusyen-kusyen kecil juga berselerakan di sana sini. “Bergusti ke apa kau orang ni?” soal Iman.

“Kita orang tengah mainlah, ibu. Mana ada bergusti,” jawab Izzati petah.

“Main apanya sampaikan bersepah macam ni? Ni kusyen-kusyen ni, takkan kau orang main jugak?” Iman tidak puas hati. Tangannya lincah mengutip kembali kusyen kusyen yang berselerak di atas permaidani. Hai... kesian ibu mengandung ni.

“Alah... relakslah, mak su,” sahut Rayyan pula. “Banyak kau punya relaks. Kau orang buat sepah, mak su kau ni jugak yang tak relaks-relaks.” Iman terus membebel.

Keempat-empat kanak-kanak lincah itu ketawa mengekek. Eh... eh... seronok pula mereka mendengar Iman membebel. Seolah-olah Iman bukannya membebel, tetapi tengah menyanyikan lagu Anak Itik Tok Wi untuk mereka.

“Apa gelak-gelak?” sergah Imah sambil menjegilkan sedikit matanya. Terus keempat-empat mereka menutup mulut masing-masing sambil menggeleng-geleng.

“Ohh... gelak ya? Tak apa, gelaklah puas-puas. Malam ni... no dinner!” Sengaja Iman mengusik mereka.

“Hah?!” Terkejut bukan kepalang budak-budak itu mendengar ugutan Iman.

“Kami laparlah, ibu.” Insyirah bersuara. Lembut sahaja suaranya. Sememangnya berbanding Izzati, dia lebih bersifat lembut. Izzati pula lebih banyak mewarisi sifat Iman yang brutal dan banyak cakap.

“Eh! Apa pulak? Gelak banyak-banyak boleh kenyang apa.” Iman buat selamba.

“Alah, kita telefon aje piza,” penuh berani Rayyan memberikan cadangan.

“Betullah. Abang Rayyan memang pandai,” puji Izzati sambil bertepuk tangan.

“Cepat ambil telefon. Kita telefon sekarang,” ajak Izzati. Iman terdiam seketika. ‘Wah! Si Rayyan ni berani mencabar aku nampaknya. Tak apa, meh kita tengok siapa lagi hebat. Ini Iman brutal yang comellah. Kena berguru dengan mak su kau ni dulu kalau nak jadi brutal.’

Apa sajalah Iman ni. Dengan budak-budak pun dia nak menang juga. Ish... ish... ish...

“Aipp... aipp... Apa kes nak ambil telefon ibu?” Iman bertanya dengan penuh gaya berlagak.

Tangan Izzati yang baru sahaja hendak mencapai telefon bimbit milik Iman terus terhenti secara automatiknya. Perlahan dikalihkan wajah memandang ibunya. “Zati nak telefon piza.”

“Ohh... nak telefon piza. Boleh. Tapi sila gunakan telefon sendiri ya?” ujar Iman tanpa perasaan.

“Hah?!” Sekali lagi keempat-empat bersaudara itu terlopong mulut. “Dan seperkara lagi... apabila piza itu tiba di rumah ini nanti, sila bayar sendiri ya?” Iman semakin berlagak brutal.

Makin luas mulut budak-budak itu melopong. Zalim betul minah ni. Dengan anak-anak sendiri pun dia nak cari pasal. Kalau dah jenis brutal tu, brutal juga. Saja aje nak mengenakan budak-budak tu.

“Kami mana ada telefon. Duit pun tak ada.” Izzati mempamerkan muka sedih minta dikasihani. “Bukan masalah ibu,” balas Iman sambil menjongketkan bahunya.

“Uhh... rasa lapar pulak. Bye...” Iman terus berlalu ke dapur. Sebenarnya, dia mahu melarikan diri kerana sudah
tidak tahan hendak ketawa melihat wajah cemberut anak-anak dan anak saudaranya.

Setiba sahaja di dapur, dia terus melepaskan tawanya. Namun diperlahankan nadanya agar tidak sampai ke ruang tamu. Perut yang memboyot dipegang, bimbang tercicir pula anak di dalam akibat gegaran tawanya.

Dia mengintai di sebalik pintu dapur. Dia ingin melihat apa yang anak-anaknya sedang buat.

“Macam mana ni?” Izzati bertanya. Gayanya penuh susah hati. “Macam mana apa?” Rayyan buat soalan bodoh.

“Orang laparlah.” Kali ini suara Izzati sudah berubah garang.

“Itulah, siapa suruh sakitkan hati ibu tadi.” Seperti biasa, Insyirah tetap dengan gaya lemah lembutnya.

“Mana ada Zati sakitkan hati ibu. Abang Rayyan ni yang suka sangat menjawab cakap ibu.” Izzati membela diri.

“Eh! Apa pulak abang? Mana ada. Pandai-pandai aje tocang dua ni menuduh orang,” balas Rayyan sambil menarik sedikit rambut Izzati yang ditocang dua.

Izzati mendengus sambil menepis tangan Rayyan. Dijelirkan lidah tanda geram.

“Sudah, sudah. Janganlah gaduh. Sekarang ni kita nak buat macam mana? Kita lapar tapi ibu dah mogok.” Insyirah meleraikan suasana.

“Haa... Ain tahu. Kita gelak nak?” Ain tiba-tiba menyampuk. “Gelak?” Serentak Izzati, Insyirah dan Rayyan bertanya.

Ain terangguk-angguk. Alah, comel sungguh! Anak siapalah ni. “Tadi mak su kata, gelak banyak-banyak. Nanti boleh kenyang,” ujarnya dengan wajah suci.

Izzati, Insyirah dan Rayyan menepuk dahi. Iman yang bersembunyi di balik pintu sudah senak menahan ketawa. “Macam-macam anak-anak aku ni.”

Dia kemudian kembali beralih ke dapur. Dia dengan senang hati menyelongkar kabinet dapur. Pelbagai bahan dikeluarkan. Kemudian dia beralih ke peti sejuk pula.

Menyelongkar lagi. Apa yang dicari agaknya? Tara... Atas meja kini ada tepung, sos, mayonis dan pelbagai rencah lagi. Ohh... Iman brutal nak buat piza rupanya. Alahai... brutal-brutal pun, pengasih juga Iman brutal yang comel ni.

 

Untuk Urusan Langganan, layari: http://mall.karangkraf.com/

Hubungi: Tel: 03-51017480/ 7481/ 7478 Faks: 03-51017483  HP: 019-3310102

Buku Prima: 03-51013888


Pantai Timur/ Sentral: Halim (019-2886263) & Raqib (013-6554415)
Utara/ Sentral: Hanapi (019-2297371) & Saiful Azlan (012-3412411)
Selatan/ Sentral: Azam (012-9897565) & Ibrahim (013-3330591)
Mega Bookstores/ MPH, Kinokuniya, Borders, Popular: Fadzli@Apai (019-6222839)
Sabah, Sarawak & Luar Malaysia: Liza (03-55118820)

Laman web: http://www.bukuprima.com.my/

emel: prima@bukuprima.com.my


Laman web: http://www.alaf21.com.my/

http://www.facebook.com/bukuprima

http://www.facebook.com/Alaf21