KUALA LUMPUR - Wanita MCA meminta Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin memohon maaf secara terbuka kepada semua wanita di negara ini kerana telah mengeluarkan kenyataan yang menghina golongan berkenaan.

Menurut Ketua Wanita MCA, Datuk Heng Seai Kee, Bung Moktar sebelum ini telah beberapa kali mengeluarkan kenyataan yang mengguris perasaan golongan wanita.

"Saya harap Speaker Dewan Rakyat dapat menghalang mana-mana ahli parlimen daripada mengeluarkan kenyataan yang menghina wanita.

"Ini penting kerana dapat mengelak nama Parlimen daripada dicemari oleh kata-kata yang tidak sepatutnya," kata Seai Kee seperti dipetik dalam China Press.

Beliau mengulas kenyataan Bung Moktar ketika berucap di Dewan Rakyat baru-baru ini mengatakan kecantikan seseorang tidak mempunyai kaitan dengan penampilannya.

“Apa masalah pakai tudung? Kalau dia perempuan cantik, walaupun pakai tudung, tetap cantik juga. Kalau pun dia tidak cantik, telanjang pun, siapa tak mahu,” kata Bung Moktar.