LANGKAWI - Sebanyak 198 organisasi dari 60 negara mula berkumpul di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini bagi menyertai Travel Mart Persatuan Pengembaraan Asia Pasifik (Pata) edisi tahun ini yang bermula hari ini sehingga Jumaat.

Penjual dan pembeli pakej pelancongan dari negara-negara seperti India, Thailand, China, Macau dan Korea Selatan ialah antara yang menyertainya yang dianggap sebagai acara pemasaran dan pelancongan yang terbesar di rantau Asia Pasifik.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada), Datuk Azizan Noordin berkata buat kali pertama, simposium belia Pata yang menarik penyertaan lebih 100 pelajar universiti dari dalam dan luar negara diadakan sempena Travel Mart Pata itu.

“Kami menyasarkan untuk menarik lebih ramai belia untuk terlibat dalam industri pelancongan dan melalui simposium ini, mereka dapat mengenal pasti pelbagai peluang, sama ada terdapat di seluruh negara atau di luar negara,” kata beliau.

Peserta acara itu akan diraikan pada satu majlis yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi malam ini.

Bersempena dengan acara itu, majlis penyampaian anugerah pelancongan juga akan diadakan. - Bernama