KUALA LUMPUR - Pejabat Peguam Negara Switzerland sedang menyiasat enam individu disyaki terlibat dalam pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut kenyataan dikeluarkan kepada Reuters, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak termasuk dalam penjawat awam yang dituduh.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Peguam Negara Switzerland, Michael Lauber mengadakan pertemuan dengan Peguam Negara, Tommy Thomas, hari ini.

Reuters melaporkan, daripada enam yang disiasat, dua individu adalah bekas pegawai dari 1MDB, dua bekas pegawai dari syarikat pengurusan dana kerajaan Abu Dhabi serta dua pegawai syarikat PetroSaudi International.

[ARTIKEL BERKAITAN: Kronologi kes 1MDB]

Baru-baru ini, anak tiri Najib, Riza Aziz akhirnya membuat kemunculan pertamanya di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

[ARTIKEL BERKAITAN: 1MDB: Akhirnya anak tiri Najib muncul]

Riza atau nama sebenarnya Riza Shahriz Abdul Aziz diperintah hadir untuk disiasat berhubung dakwaan penyelewengan dana syarikat pelaburan kontroversi kerajaan, 1MDB.

SPRM mengambil masa tiga hari merakamkan keterangannya bagi membantu siasatan.