KUALA LUMPUR - Puluhan tahun lalu, peluang untuk mendapatkan biasiswa melanjutkan pelajaran lebih mudah kerana kurangnya saingan, tetapi sejak 2007, tidak kurang daripada 430,000 pelajar menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia setiap tahun; peperiksaan yang menunjukkan peningkatan keputusan lebih 50 peratus calon.
   
Pelajar yang kurang punca kewangan bagaimanapun akan mencari peluang pinjaman pelajaran untuk memenuhi impian mereka menjejakkan kaki ke pusat pengajian tinggi. Pelbagai skim pinjaman pelajaran ditawarkan di pasaran oleh institusi kewangan, masing-masing dengan kelebihannya yang tersendiri.
   
Mewakili kerajaan, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) diberikan tanggungjawab untuk menyelia dan mengagihkan pinjaman pelajaran kepada mereka yang kurang mampu untuk ke institusi pengajian tinggi.
   
Kerajaan telah mewujudkan PTPTN sejak 13 tahun lalu untuk menyediakan pinjaman pelajaran ini dan ia membentuk Skim Simpanan Pelajaran Malaysia (SSPN) bagi membolehkan ibu bapa membuat simpanan dan menggalakkan budaya menabung untuk keperluan pembelajaran anak-anak mereka.
   
USAHA AWAL
   
Dilancarkan pada 2004, SSPN kemudian dijadikan syarat mandatori untuk permohonan pinjaman pelajaran PTPTN pada 2008.
   
Bagaimanapun, inisiatif ini dimansuhkan setahun kemudian untuk membolehkan PTPTN menambah baik sistem pentadbiran yang ada pada waktu itu demi kepentingan para penyimpan.
   
Sehingga Mei 2012, SSPN-i mencatatkan 1,285,256 penyimpan berdaftar, melibatkan jumlah simpanan sebanyak RM620 juta.
   
SSPN kemudian ditukar kepada SSPN-i, dengan pengenalan logo baharu dan pelaksanaan konsep T+1 (Transaksi + satu hari).
   
Ketua Eksekutif PTPTN, Agos Cholan berkata Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM) telah mengesahkan SSPN-i memenuhi keperluan patuh syariah berlandaskan kontrak ‘Wakalah Bil Istithmar’ sejak 30 Nov lalu.
   
“Ini bererti, melalui penyimpanan di SSPN-i para penyimpan secara sah melantik PTPTN untuk menguruskan simpanan mereka melalui kontrak ‘mewakilkan untuk tujuan pelaburan’,” kata beliau.
   
Agos berkata logo baharu telah direka oleh PTPTN selaras dengan konsep ini.
   
“Kombinasi duit syiling dan buku melambangkan simpanan bagi tujuan pendidikan tinggi dan penambahan huruf ‘i’ selepas SSPN bertujuan melambangkan ciri Islamik pada simpanan ini yang berlandaskan syariah,” jelas beliau.
   
Di samping ciri-ciri komersil yang ditambah nilai, mutu perkhidmatan kepada pelanggan juga dipertingkat melalui konsep T+1 yang memendekkan masa pengurusan transaksi akaun SSPN-i.
   
Daripada 14 hari bekerja yang diperlukan sebelum ini, kini penyimpan boleh membuka akaun SSPN-i serta melalui bank-bank ejen yang mengambil bahagian.
   
Selain itu, penyimpan juga boleh menyemak baki akaun melalui laman sesawang PTPTN hanya sehari selepas transaksi yang dilakukan.
   
“Kami menggalakkan orang ramai membuka akaun SSPN-I melalui bank Maybank dan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) bagi memudahkan urusan pembiayaan pendidikan PTPTN,” kata Agos.
   
SIMPANAN BONANZA
   
Sehingga Disember tahun ini, penyimpan berpeluang memenangi wang tunai bernilai sehingga RM100,000 melalui promosi cabutan hadiah ‘Simpanan Bonanza!’ yang dijalankan dengan kerjasama BIMB.
   
Untuk menyertainya, penyimpan hanya perlu membuka akaun atau menambah simpanan dengan nilai minimum RM100 dan mengekalkan deposit itu dalam tempoh 30 hari sehingga tarikh akhir setiap siri cabutan.
   
Pada setiap siri, 22 pemenang akan dipilih untuk memenangi wang tunai bernilai RM1,000, RM10,000 dan RM100,000.
   
Siri pertama telah pun bermula pada 23 Jun lepas dan akan berakhir pada 22 Sept. Siri kedua akan menyusul selepas itu bermula 23 Sept hingga 23 Dis 2012.
   
Cabutan untuk siri pertama akan dilakukan pada 1 Okt manakala cabutan untuk siri kedua pula pada 31 Dis 2012.
   
Maklumat lanjut boleh didapati di www.ptptn.gov.my.

SIMPANAN UNTUNG SEMUA
   
Walaupun tidak diwajibkan, faedah yang ditawarkan SSPN terbukti memikat sebahagian rakyat Malaysia yang sedar tentang kelebihan skim ini.
   
Usahawan Internet, Mohd Suhaimy Abu Bakar melalui blognya www.mohdsuhaimy.com berkata walaupun dividen yang ditawarkan tidak begitu tinggi, kelebihan yang ada pada SSPN-i menjadikan ia platform yang baik sebagai ‘Pelan B’ untuk masa depan anak-anak.
   
Mohd Suhaimy yang membuka akaun untuk anak-anaknya pada akhir 2008 menjelaskan bahawa antara kelebihan skim ini adalah kerana ia mudah ditunaikan, kemudahan potongan cukai sehingga RM3,000 dan perlindungan insurans kepada penyimpan.
   
Tidak ketinggalan, simpanan ini turut dijamin kerajaan, kemudahan semakan akaun secara online dan paling menarik, peluang mendapatkan geran bernilai RM10,000 untuk calon IPT dari keluarga berpendapatan rendah.   
   
Beliau menulis; “Nampaknya, ejen-ejen insurans yang menjual polisi insurans untuk pendidikan perlu bekerja lebih keras lagi selepas ini kerana, PTPTN juga turut memberikan perlindungan insurans sebanyak RM50,000 kepada setiap pendeposit.”
   
Ini adalah satu pencapaian yang boleh dibanggakan memandangkan pertambahan 802,870 penyimpan (berbanding 2009) memilih SSPN-i walaupun ia bukan syarat mandatori mendapatkan pinjaman PTPTN di waktu itu.
   
Untuk tahun 2012, PTPTN menyasarkan pembukaan 190,000 akaun baharu dengan sasaran jumlah simpanan sebanyak RM150 juta. - Bernama