KUALA LUMPUR - Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee tetap mempertahankan diri bahawa beliau tidak melakukan sebarang kesilapan ketika proses pengundian belah bahagi untuk meluluskan bekalan dan pembangunan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Isnin lalu.

"Saya tidak melengah-lengahkan masa, malah tidak melanggar Peraturan Mesyuarat. Ahli parlimen daripada pembangkang mendakwa saya melengah-lengahkan masa.

"Saya nak tanya mereka, saya telah langgar bahagian mana Peraturan Mesyuarat?" kata Ronald ketika ditemu bual Sin Chew Daily.

Menurutnya, sebarang keputusan dibuatnya adalah mengikut peraturan ditetapkan dan semua ahli parlimen perlu bersetuju dengan keputusan muktamad dibuat oleh Speaker.

Beliau menjelaskan, Peraturan Mesyuarat tidak menetapkan ahli-ahli parlimen yang lambat datang tidak dikira undi dan tiada had masa selagi keputusan belum diumumkan.

Seramai 29 wakil rakyat daripada Pakatan Harapan yang tidak berpuas hati dengan keputusan undian belah-bahagi, sejurus Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin selesai menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2018 peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya.

Undian belah-bahagi menyaksikan BN menang tipis apabila seramai 52 wakil rakyat daripada BN bersetuju, manakala 51 daripada pembangkang tidak bersetuju dan dua lagi berkecuali.

Akibatnya, wakil rakyat pembangkang yang mendakwa Ronald memihak kepada BN dan menuduh satu penipuan telah berlaku dalam Dewan Rakyat berpakat meninggalkan sidang Parlimen beramai-ramai.