CYBERJAYA - Semua pihak industri, institusi pendidikan dan kerajaan perlu bekerjasama membangunkan inovasi bagi mendorong perkembangan ekonomi negara.

Ia boleh menggunakan pendekatan model triple Helix dalam pembangunan inovasi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerjasama tersebut akan membantu industri menyalurkan pengetahuan dalam bidang akedemik.

"Kerajaan pula berperanan mewujudkan iklim yang kondusif untuk menyokong kerjasama antara industri dan istitusi pendidikan," katanya.

Menurutnya, ia termasuk memperuntukkan geran penyelidikan, mewujudkan ekosistem yang kondusif untuk inovasi

"Selain itu kerajaan akan mewujudkan dasar dan peraturan yang melindungi harta intelek serta mentakrifkan bidang keutamaan dalam kajian dan pembangunan (R&D)," katanya dalam ucapan pelancaran telefon satelit pintar dengan sistem pengoperasian Android pertama di dunia, Xplore X7, di sini hari ini.

Beliau berkata, AdvanceTC Sdn Bhd selaku syarikat yang membangunkan telefon satelit pintar itu adalah contoh kerjasama triple Helix.

"Bekas profesor terlibat di dalam syarikat berkenaan sebagai ahli pengurusan dan panel penasihat. Difahamkan agensi kerajaan seperti MDeC dan Mosti turut menjadi rakan kongsi dalam kerjasama untuk membangunkan Xplore X7 ini," katanya.

Beliau berkata, inovasi bukan sekadar kreativiti kerana ia juga memerlukan keberanian untuk berhadapan dengan risiko kegagalan.

"Inovator perlu keluar dari zon selesa mereka dan berlayar ke dalam air yang belum dipetakan.

"Banyak inovasi memerlukan kerjasama dengan penyedia teknologi lain untuk mengintegrasikan teknologi yang berkaitan bagi membuka akses pasaran," katanya.

Xplore X7 dibangunkan AdvanceTC Group mempunyai kemampuan liputan 4G di 98 peratus kawasan di seluruh dunia dengan menyediakan khidmat pesanan ringkas satelit, butang kecemasan serta bateri berprestasi tinggi yang mampu bertahan sehingga 10 hari.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif AdvanceTC Group, Datuk Ahmad Ghiti Mohd Daud berkata, Xplore X7 dijangka akan berada di pasaran dalam tempoh 60 hari lagi.

"Kami akan mengumumkan dengan lebih lanjut termasuk harga pada majlis akan datang," katanya.